Cadangan supaya diwujudkan satu portfolio bagi mengelola urusan penganut agama selain Islam bukan sesuatu yang menghina Islam, kata Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST).
Pertubuhan itu juga menegaskan cadangan berkenaan – yang disuarakan oleh Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui baru-baru ini – adalah tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan seperti didakwa pengkritik.
Dalam satu kenyataan hari ini, MCCBCHST berkata, mereka tidak berniat untuk mengulas mengenai sama ada wujud keperluan bagi seorang menteri hal ehwal bukan Islam atau tidak, namun mempertahankan cadangan itu.
"MCCBCHST berpandangan dengan hanya mencadangkan pelantikan menteri hal ehwal bukan Islam – walaupun MCCBCHST tidak mahu membuat sebarang ulasan mengenai keperluannya – adalah tidak boleh disamakan sebagai tindakan tidak menghormati Islam.
“MCCBCHST mengulangi pendirian menyokong penuh kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja serta kedudukan bahasa Melayu seperti yang tercatat dalam perlembagaan,” katanya.
Sebelum ini Chow mengemukakan cadangan agar kerajaan melantik seseorang sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) khusus mengeloka hal ehwal urusan bukan Islam. Dia berkata cadangan itu dibangkitkan ekoran isu keharmonian dalam negara serta mengelakkan timbul kontroversi tidak perlu.
Ia mengundang pelbagai reaksi sebelum Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menegaskan kerajaan tidak melihat ada keperluan untuk mewujudkan portfolio seperti yang dicadangkan Chow.
Untuk rekod walaupun tiada anggota kabinet diberikan tugas khusus mengelola urusan agama bukan Islam, jawatan seumpama itu sudah wujud di peringkat negeri melalui pelantikan exco tertentu.
Menurut MCCBCHST, berdasarkan undang-undang sudah ada duluan dibuat oleh mahkamah seperti kes Che Omar Che Soh dan pendakwa raya pada 1988. Dalam kes itu, kata mereka, lima hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan bahawa istilah Islam dalam perkara tiga perlembagaan negara hanya merujuk kepada aspek ritual dan upacara, dan bukan sebagai cara hidup.
Menurut mereka, ketika Perlembagaan Persekutuan digubal, undang-undang Islam seperti yang dilihat oleh penggubalnya terhad kepada aspek perkahwinan, penceraian, dan pewarisan.
Mahkamah ketika itu berhujah, jika tidak, sudah tentu akan ada peruntukan yang membatalkan mana-mana undang-undang yang bercanggah dengan Islam.
Kata MCCBCHST, peruntukan perkara 3 itu dihadkan sendiri oleh perkara 3(4) apabila seksyen tersebut menyatakan bahawa ia tidak akan mengurangkan mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, kata pertubuhan tersebut, perkara 3 tidak boleh digunakan untuk menolak cadangan agar ada menteri menjaga hal ehwal bukan Islam dilantik.
MCCBCHST juga berharap kerajaan mengambil langkah wajar untuk mengajar perlembagaan di sekolah.