Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee berkata rakyat akan menjadi hakim berhubung video membabitkan dakwaan rasuah melibatkan Adun Sabah yang dikatakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki telah disunting dan tidak boleh dijadikan bukti.
Menerusi video yang dimuat naik di laman Facebooknya, Ronald menyamakan isu itu dengan siri Netflix dengan menyatakan ia belum berakhir kerana masih banyak 'episod' akan dipaparkan.
“Katanya video tu tak jelas. Katanya video yang jelas masih dalam simpanan malah banyak lagi video baru yang belum ditayang.
“Katanya mereka bersorak-sorai kerana kenyataan itu. Balas mereka kenapa tak lapor polis kalau mereka dianiaya kerana video yang kata tidak jelas.
“Macam di Netflix kan? Banyak episod. Lambat lagi baru berakhir. Dilewatkan hingga lepas PRN barangkali. Sementara itu kita sajalah jadi hakim, kan,”katanya dalam kapsyen mengiringi video kenyataannya di Facebook, hari ini.
Kenyataan Ahli Parlimen Beluran itu dibuat beberapa hari selepas Azam Baki menyatakan video yang disiarkan oleh Malaysiakini tidak boleh dijadikan bukti meskipun siasatan kes itu masih berjalan.
Sebelum ini Malaysiakini mendedahkan sejumlah rakaman video menunjukkan perbincangan seorang ahli perniagaan dengan beberapa ahli politik Sabah berhubung sumbangan yang dianggap rasuah.
Ia terkait dengan kelulusan diberi kerajaan negeri terhadap projek cari gali mineral di negeri berkenaan.
Ketua Menteri Hajiji Noor menafikan berlaku sebarang amalan rasuah dan menegaskan pendedahan itu berniat mahu menggugat kestabilan kerajaan negeri.
Kenyataan Azam itu kemudiannya mencetuskan reaksi beberapa pemimpin Sabah, antaranya Adun Sindumin Yusof Yacob yang turut terpalit dengan skandal tersebut.
Yusof tampil melontarkan pertanyaan kepada orang ramai sama ada mahu percaya kepada pihak berkuasa atau orang yang membuat dakwaan tersebut.
Menganggap kes berkenaan sudah selesai dengan kenyataan SPRM, Yusof berkata, sejak awal dia menyerahkan isu berkenaan kepada pihak berkuasa untuk disiasat.
Sementara itu, Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking berkata, dia kalah dalam pertaruhan dengan rakannya mengenai perkembangan isu dakwaan skandal rasuah berkenaan.
Kata Darell dia sebenarnya sudah kecewa terhadap sikap pihak berkuasa terhadap dakwaan berkenaan kerana sehingga kini tiada tindakan meyakinkan diambil.
Mengulas lanjut, Ronald berkata walaupun SPRM berpendirian sedemikian, ia tidak membebaskan mereka yang terlibat daripada sebarang tuduhan rasuah.
“Video yang secara jelas dan jelas menyatakan pengakuan—mengakui bahawa mereka menerima sejumlah wang daripada seseorang—tidak akan dinafikan, dipadamkan atau disahkan untuk apa yang berlaku pada bulan November.
“Ya, memang benar SPRM ada menyatakan bahawa video semasa tidak boleh digunakan. Bagaimanapun, pihak tertentu yang memiliki video itu mungkin masih memilikinya dan boleh mengemukakannya kepada SPRM untuk tindakan lanjut.
“Rakyat Sabah sedang menilai perkara ini, dan saya pasti mereka yang masih belum mengundi akan menganggap ini sebagai salah satu faktor ketika memutuskan calon yang akan bertanding untuk rakyat,” katanya lagi.
