Veteran DAP Pulau Pinang Phee Boon Poh telah menggesa pembaharuan dalam kepimpinan parti, dengan menyatakan bahawa walaupun pengorbanan keluarga Lim diiktiraf, ramai ahli veteran lain yang juga telah mendedikasikan segala-galanya untuk perjuangan parti.
Keluarga Lim merujuk kepada keluarga pengerusi kebangsaan DAP Lim Guan Eng, dan bapanya Kit Siang, yang pernah memimpin parti itu selama beberapa dekad.
Mengumumkan keputusan untuk berundur daripada pertandingan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Phee menggesa pemimpin generasi akan datang untuk mengambil alih dan memacu parti ke hadapan ke arah baru.
“Lim Kit Siang dan veteran yang lain banyak berkorban untuk parti dan pastinya tidak dinafikan perkara ini. Kelangsungan hidup DAP melalui masa yang paling sukar adalah usaha kolektif darah, keringat dan air mata.
“Lim Guan Eng dipenjarakan kerana parti dan kita semua berdiri di sisinya ketika dia melalui ujian dan kesusahan. Segala pengorbanan Guan Eng dan bapanya demi perjuangan tidak akan dilupakan parti.

“Tetapi kita juga harus ingat bahawa selepas dibebaskan, Guan Eng menjadi setiausaha agung parti pada 2004 dan terus memegang jawatan itu sehingga 2022. Pada 2008, beliau menjadi Adun, ahli Parlimen dan ketua menteri Pulau Pinang.
“Bagaimanapun, kita juga harus ingat bahawa selepas dibebaskan, Guan Eng menjadi setiausaha agung parti pada 2004 dan memegang jawatan itu sehingga 2022.
“Pada 2018, beliau juga menjadi Menteri Kewangan Malaysia (berbangsa Cina pertama yang memegang jawatan itu sejak 1974,” kata Phee dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, adik Guan Eng, Hui Ying, juga dipilih sebagai ahli Parlimen Tanjong dan timbalan menteri kewangan pada ketika ini.
“Tiada siapa yang mempertikaikan pengorbanan yang telah dilakukan oleh keluarga Lim, tetapi terdapat juga ramai ahli veteran lain yang telah memberikan segalanya untuk tujuan itu.

“Saya sendiri telah melakukan banyak pengorbanan dan sumbangan kewangan untuk memastikan DAP Pulau Pinang terus bertahan pada mas yang paling teruk dan saya melakukannya dengan rela hati tanpa mengharapkan ganjaran atau pengiktirafan,” katanya.
Phee, yang pertama kali bertanding sebagai calon DAP pada 1990, telah berkhidmat lima penggal di DUN Pulau Pinang dan tiga penggal sebagai anggota exco kerajaan negeri.
Katanya, tumpuannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah untuk memberi tunjuk ajar kepada bakat baharu untuk menjadi pemimpin masa depan, sebab itu beliau berundur daripada jawatan kepimpinan.
“Oleh itu, sebagai seorang pemimpin veteran, saya percaya bahawa sudah tiba masanya untuk memberikan generasi akan datang masa depan yang lebih baik untuk memacu parti ke hadapan ke arah yang baharu.

“Kita mesti menerima bahawa parti itu tidak berhutang dengan kita,” tambahnya.
Kenyataan Phee dipercayai merujuk kepada ucapan Guan Eng pada majlis makan malam penghargaan meraikan Kit Siang di Pulau Pinang pada Sabtu lalu.
Guan Eng dilaporkan menolak tuduhan bahawa keluarga mereka berusaha untuk menubuhkan "Dinasti Lim", dan mempersoalkan mengapa pengkritik masih berdiam diri terhadap dakwaan itu sedangkan dia dan bapanya pernah dipenjarakan kerana perjuangan politik mereka.
Di hadapan dewan yang dipenuhi 95 meja dengan hadirin anggota parti, Guan Eng memuji komitmen teguh bapanya terhadap Malaysia, menegaskan Kit Siang tidak pernah mencari keuntungan peribadi tetapi berjuang demi sebuah negara yang lebih kuat dan lebih baik.

Pernah menjadi sekutu rapat Guan Eng, Phee tidak hadir pada mesyuarat perwakilan parlimen Bagan DAP, yang dipengerusikan oleh Guan Eng
Ketidakhadirannya disebut sebagai salah satu sebab mengapa mesyuarat itu gagal diadakan pada 15 Dis 2024 kerana kekurangan kuorum dan sekaligus mencetuskan spekulasi meluas menjelang pemilihan CEC.
Bagaimanapun, mesyuarat itu kemudian berjaya diadakan pada 22 Disember, dengan mereka yang hadir sebulat suara mengisytiharkan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Guan Eng.
Awal hari ini, dua lagi pemimpin veteran - Tan Kok Wai dan Fong Kui Lun - juga mengumumkan penarikan diri daripada pertandingan CEC.

