Ketika suasana menjelang pemilihan parti semakin panas, dua pemimpin veteran DAP, Tan Kok Wai dan Fong Kui Lun, mengumumkan menarik diri daripada pemilihan parti yang dijadualkan bulan depan.
Tan (kiri dalam gambar) dan Fong berkata mereka mengambil keputusan itu bagi memberi laluan kepada pelapis baru.
“DAP bertuah kerana memiliki ramai individu berbakat, dan kita mempunyai pelan peralihan kepimpinan yang baik.
“Kini tiba masanya untuk memberikan lebih ruang kepada pemimpin generasi baru agar mereka dapat memainkan peranan kepimpinan yang lebih besar dalam membawa parti ke tahap tertinggi,” kata mereka.
Tan ialah penasihat DAP merangkap Ahli Parlimen Cheras, manakala Fong ialah bendahari DAP dan juga Ahli Parlimen Bukit Bintang.
Mereka turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan utama DAP pada ketika ini.
“Pendekatan strategik mereka dalam aspek ‘inisiatif pembinaan parti’ dan ‘kesediaan menghadapi pilihan raya’ mencerminkan perancangan yang tersusun serta sinergi antara usaha dalaman dan luaran, sejajar dengan perkembangan semasa.
“Kemampuan mereka memberikan jaminan dan keyakinan kepada kami bahawa masa depan parti berada di tangan yang tepat,” tambah mereka.
Usaha pujuk bertanding
Pada 14 Feb lalu, Malaysiakini melaporkan keluarga pengerusi kebangsaan DAP, Lim Guan Eng, mendekati Tan dan Fong dalam usaha memujuk mereka untuk bertanding satu penggal lagi, bagi membantu menstabilkan kedudukan Guan Eng.

Bagaimanapun menurut sumber, Tan, 68, dan Fong, 79, tidak begitu berminat untuk bertanding.
Selepas pertemuan dengan keluarga Lim, beberapa pemimpin kanan parti itu turut mendekati mereka secara peribadi bagi meminta tidak bertanding, yang menunjukkan perebutan kuasa dalam parti itu semakin sengit.
Guan Eng ialah anak kepada Lim Kit Siang, tokoh yang pernah menerajui DAP selama beberapa dekad. Adiknya, Hui Ying, pula merupakan setiausaha DAP Pulau Pinang dan timbalan menteri kewangan.
Dikatakan bahawa Guan Eng, yang juga Ahli Parlimen Bagan, bakal menghadapi cabaran getir dalam pemilihan CEC pada 16 Mac nanti.
Penghargaan kepada ‘wira tak didendang’
Mengenang perjalanan lima dekad mereka dalam DAP, Tan dan Fong turut mengiktiraf pengorbanan ahli-ahli parti serta menegaskan kepentingan usaha kolektif dalam menegakkan idealisme parti.
“Walaupun ada antara kita yang berpeluang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan Adun untuk beberapa penggal, kita juga mengakui sumbangan tidak ternilai daripada ‘wira tidak didendang’ dalam DAP - ahli-ahli biasa yang secara sukarela berbakti di belakang tabir dan berkorban demi perjuangan parti.
“Justeru, adalah wajar bagi kami untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang mendalam kepada semua rakan seperjuangan; sesungguhnya, dengan dedikasi dan pengorbanan kalian, DAP mampu berdiri teguh seperti hari ini,” tambah mereka.
