Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Akta Hasutan perlu untuk orang tak bertanggungjawab macam Zakir Naik'

WAWANCARA | Nazri Aziz bukanlah asing kepada sepak terajang serangan peribadi sama ada dalam politik atau sebaliknya ketika dia menjadi diplomat membawa nama negara di luar.

Serangan itu disasarkan kepada Nazri sehinggalah pada hari-hari terakhirnya di Washington DC sebagai duta besar Malaysia ke AS.

Namun dia yang juga bekas menteri memilih untuk tidak mengendahkannya.

Ditemui Malaysiakini di rumahnya di Kuala Lumpur hari ini, Nazri menegaskan, dia masih seorang yang percaya teguh kepada hak kebebasan bersuara atau memberi pandagan, dan pada masa sama percaya Akta Hasutan perlu dikekalkan.

“Bagi saya, kebebasan bersuara sentiasa ada hadnya. Sebarang ucapan yang boleh membawa kepada rusuhan, perkauman, keganasan mazhab - dah terlambat jika ia berlaku.

"Justeru, kita memerlukan Akta Hasutan kerana ia adalah undang-undang pencegahan," katanya.

Kerana itu, kata Nazri, dia merupakan orang yang menyokong kuat agar Akta Hasutan terus dikuatkuasakan di negara ini.

“Ia sepatutnya ada supaya kita boleh mengambil tindakan terhadap orang yang tidak bertanggungjawab seperti Zakir Naik,” kata bekas menteri undang-undang itu lagi.

Awal hari ini, Persekutuan Hak Asasi Manusia Global menempelak Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, apabila dia mengesahkan bahawa tiada lagi perintah larangan dikenakan ke atas personaliti kontroversi dari India itu.

Zakir Naik

Presiden NGO berkenaan, S Shashi Kumar, mengingatkan kerajaan bahawa Zakir sejak sekian lama mengkritik agama bukan Islam, dan percaya tokoh terbabit akan mencetuskan masalah kepada masyarakat majmuk di Malaysia tidak lama lagi.

“Ini menyentuh sensitiviti orang bukan Islam. Kita juga perlu meningkatkan sensitiviti kita.

"Kami mahu melihat bagaimana pemimpin bukan Islam dalam pentadbiran Madani mahu memberikan justifikasi kepada pembatalan larangan berkenaan,” katanya.

Semalam Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat, larangan ke atas Zakir sebelum ini dibuat pada 2019 berhubung siasatan terhadap ucapan yang dibuatnya di dua lokasi berbeza.

Bagaimanapun, kata senator berkenaan, larangan berkenaan sudah tidak lagi berkuat kuasa.

Penyokong kuat Akta Hasutan

Mengulas lanjut, Nazri menyifatkan Zakir sebagai bekas penganut Hindu kemudian mengecam agama tersebut dan penganutnya.

Diminta mengulas kenyataan Saifuddin, Nazri berkata, dia tidak bersetuju dengan ketetapan tersebut kecuali jika Zakir dibenarkan hanya bercakap tanpa menyentuh sensitiviti agama lain.

“Kenapa perlu bercakap buruk tentang agama lain? Kamu seorang Muslim, maka kamu Muslimlah. Dia bukan rakyat Malaysia pun.

“Kamu datang ke negara saya, maka adalah lebih baik kamu menghormati undang-undang. Saya tidak kisah sama ada dia Islam ataupun tidak,” katanya mengenai Zakir yang mendapat status pemastautin tetap Malaysia pada April 2016.

“Maka, ya, kebebasan bersuara (perlu dipertahankan), tetapi Akta Hasutan mesti ada untuk mengelakkan sebarang akibat yang tidak diingini daripada kebebasan bersuara.

“Dan saya penyokong kuat Akta Hasutan,” tegas bekas Ahli Parlimen Padang Rengas selama enam penggal itu.

Nazri merumuskan, hak individu untuk kebebasan bersuara dan memberi pendapat boleh berakhir apabila tindakan mereka menjejaskan individu atau kumpulan lain.

Pelbagai kumpulan dan individu sebelum ini menggesa Akta Hasutan – yang digubal sejak era British – dimansuhkan kerana sudah terdapat pelbagai peruntukan lain di bawah Kanun Keseksaan dan undang-undang lain yang boleh digunakan.

Pada Julai 2023, kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk mengkaji pindaan Akta Hasutan bagi memastikan perundangan itu hanya digunakan untuk melindungi institusi diraja daripada tindakan provokasi.

Bagaimanapun Nov lalu Kementerian Dalam Negeri berkata akta itu tidak akan dipinda atau dimansuhkan. Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah ada keperluan untuk undang-undang berkenaan dikekalkan bagi menjaga keharmonian negara.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS