WAWANCARA | Bekas duta Malaysia ke AS, Nazri Aziz, berpendapat tidak ada keperluan untuk kerajaan menghasilkan garis panduan bagi memandu umat Islam menghadiri sesuatu majlis melibatkan agama lain.
Katanya cadangan itu boleh dianggap sebagai “tidak masuk akal” kerana umat Islam tidak perlu dipandu sehingga begitu ketat hanya untuk menjalani kehidupan bermasyarakat dalam negara majmuk.
Ditanya mengenai cadangan awal dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar baru-baru ini, Nazri yang juga bekas anggota kabinet menjelaskan hubungan antara agama adalah urusan seharian yang dilalui semua orang
"Saya sama sekali tidak bersetuju dan saya fikir adalah tidak masuk akal untuk memberitahu kami (orang Islam) bagaimana untuk berkelakuan baik," katanya semasa ditemui Malaysiakini di rumahnya di Kuala Lumpur semalam.
Nazri – yang baru saja menamatkan tugasnya sebagai duta Malaysia di AS selama dua tahun – menjelaskan semasa di negara terbabit antara tugasnya ialah menghadiri pelbagai majlis anjuran pihak masjid di Washington DC.
Majlis itu, katanya, antara lain adalah untuk memupuk persefahaman bagi membentuk hubungan harmoni antara agama.
Kata bekas Ahli Parlimen Padang Rengas itu lagi, perhubungan antara agama adalah sesuatu yang berlaku setiap hari di negara ini.
“Dan tiba-tiba hari ini kita memerlukan ketetapan (garis panduan) antara agama?
“Adakah kita ini nanny state atau yang seumpamanya sehingga kamu perlu memberitahu kami bagaimana untuk berkelakuan baik?” katanya lagi.
Tak salahkan MP Raub
Nanny state yang disebut Nazri merujuk kepada dasar melihatkan kawalan berlebihan oleh negara. Ia boleh merujuk kepada kekangan pihak berkuasa sehingga menyebabkan kebebasan individu berkurangan.
Kerajaan dalam nanny state bertindak seolah-olah seperti seorang pengasuh yang menjaga kanak-kanak.
Menjelaskan pandangannya itu lebih lanjut, Nazri berpendapat cadangan garis panduan berkenaan – yang sudah ditolak kabinet – sebagai "mengarut dan bodoh" sedemikian.
Menceritakan pengalamannya di AS, Nazri berkata dia sering menekankan bagaimana usaha memupuk hubungan baik antara agama adalah urusan harian di Malaysia, dan mengulangi sekali lagi bahawa rakyat Malaysia harus dibenarkan meneruskan cara hidup sedia ada.
Katanya dia sangat kecewa dengan perkembangan berkenaan kerana selama ini urusan hidup rakyat tidak tetap baik walaupun masing-masing mempunyai latar agama berbeza.
“Ia tidak pernah menjadi masalah, tetapi tiba-tiba hari ini kita tidak boleh menyanyikan lagu Merry Christmas? Eh, ia tidak akan mengubah iman sayalah!
"Ini tidak masuk akal, saya tak suka," tegasnya.

Menganggap kontroversi tersebut sebagai salah di pihak kerajaan, Nazri berkata Mohd Na’im memang tidak perlu mengemukakan cadangan berkenaan kerana ia akan membawa kepada perbincangan dengan pihak menteri bukan Islam.
Pada masa sama, Nazri mempertahankan cadangan agar ada menteri khas dilantik bagi mengelola hal ehwal agama bukan Islam seperti dibangkitkan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui.
Kata Nazri, dia tidak menyalahkan Chow dan langkah membangkitkan cadangan berkenaan adalah wajar.
“Apabila ada apa-apa yang melibatkan kedua-dua kumpulan – Islam dan bukan Islam – mesti ada wakil daripada kedua-dua kumpulan di peringkat menteri yang sama jika kita mahu meneruskan (dengan cadangan itu).
“Sekarang ia telah ditolak, jadi tidak ada keperluan, namun saya tidak menyalahkan dia (Chow) kerana membuat cadangan tersebut.
"Itu hanya reaksi terhadap cadangan yang salah dan bodoh," kata Nazri.
Sebagai reaksi kepada cadangan Chow, pelbagai pihak membantah termasuk Dewan Ulama PAS Pusat yang menganggapnya sebagai tidak masuk akal.
Umno pula menggesa Chow menghormati kedudukan Islam sebagai agama persekutuan seperti termaktub dalam perlembagaan. Amanah pula menolak cadangan berkenaan sebagai tidak praktikal dan tidak perlu.
