Seorang Adun PKR Selangor hari ini menyatakan rasa 'terkejut' dan tertanya-tanya jika Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman, tidak yakin kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, untuk diangkat sebagai calon perdana menteri.
Menurut Najwan Halimi, sebagai orang yang begitu dekat dengan Abdul Hadi, Syahir sepatutnya menamakan Ahli Parlimen Marang itu sebagai tokoh yang mampu memimpin Malaysia sebagai perdana menteri ke-11.
Sebaliknya, kata exco Selangor berkenaan, jangkaannya itu salah, bahkan Syahir memilih untuk menyatakan dia mahu melihat seorang teknokrat menjadi pengganti perdana menteri sekarang, Anwar Ibrahim.
"Aneh bukan?
"Sebagai salah seorang pemimpin muda dalam PAS, bahkan berkhidmat sebagai pegawai kepada Presiden PAS, adakah Syahir sendiri tidak terfikir untuk menamakan bos beliau sebagai calon perdana menteri?
"Adakah Syahir sendiri tak punya keyakinan terhadap kepimpinan, kebijaksanaan dan kewibawaan Tan Sri Abdul Hadi sebagai calon perdana menteri?" katanya sebagai reaksi segera petang ini.
Terdahulu Syahir menyatakan impiannya melihat seorang teknokrat dipilih sebagai perdana menteri ke-11 bagi menggantikan Anwar. Dia berkata demikian sebagai mengulas pandangan bekas ahli parlimen dan diplomat, Nazri Aziz.
Dakwa Syahir, tidak sukar untuk mencari pengganti Anwar kerana Pengerusi PH dan Presiden PKR berkenaan meletakkan piawaian rendah sebagai perdana menteri.
Elok muhasabah, minta maaf
Dia juga memetik bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Khalid Ibrahim, sebagai tokoh teknokrat yang sesuai memimpin Malaysia sebagai perdana menteri.
Pemilihan tokoh itu, katanya, tidak semestinya dalam kalangan ahli politik malah boleh juga terdiri daripada pegawai tertinggi syarikat berkaitan kerajaan atau syarikat berkaitan pelaburan kerajaan.
Untuk rekod, sebelum ini Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, pernah dianggap sebagai salah seorang calon perdana menteri dari parti itu.
Dia yang juga Menteri Besar Terengganu memiliki pengalaman sebagai ahli akademik dan datang dari latar belakang bidang teknologi.

Sikap ditunjukkan Syahir yang tidak menamakan Abdul Hadi itu, dakwa Najwan, lebih rendah berbanding pendirian Bersatu.
"Selemah-lemah Bersatu yang merupakan parti kecil dalam PN, pemimpin mereka masih bangga dan yakin - meskipun terbukti sebagai perdana menteri paling gagal dalam sejarah - untuk memposisikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri," katanya.
Justeru, kata Adun Kota Anggerik itu lagi, Syahir wajar bermuhasabah dan meminta maaf kepada pemimpin dan ahli PAS yang mungkin terguris dengan kenyataan terbuka dan secara tersirat merendahkan keupayaan serta kewibawaan Abdul Hadi.
"Sebagai pemimpin PAS dan orang kanan presidennya, Syahir harus memiliki keyakinan terhadap kemampuan Abdul Hadi.
"Apa yang pasti calon teknokrat tersebut masih belum wujud dalam kalangan pimpinan PAS yang ada pada hari ini," katanya.