Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembangkang patut perhalusi URA, bukan percikkan api perkauman - Kamil
Diterbitkan:  Feb 28, 2025 8:44 PM
Dikemaskini: 12:44 PM

Setiausaha politik perdana menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim menyelar sikap pembangkang yang mendakwa pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) akan menyingkirkan kaum Melayu berpendapatan rendah daripada kawasan bandar.

Dalam satu kenyataan Kamil berkata pembangkang cuba membawa naratif jahat dengan cuba memercikkan api perkauman.

"Saya fikir pimpinan pembangkang seharusnya meneliti dan memperhalusi apa jua kandungan dalam rang undang-undang berkenaan sebelum melakukan sebarang tindakan yang tidak membawa manfaat.

"Perkara seumpama ini seharusnya dilakukan bagi menegakkan prinsip ‘semak dan imbang’ dan bukannya menggunakan platfom ‘pembangkang’ itu sebagai wahana atau medium untuk menabur fitnah selain memercikkan api perkauman dalam isu membabitkan hak serta kepentingan rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 19 Feb lalu, ahli parlimen pembangkang menyifatkan cadangan RUU itu sebagai taktik halus untuk menyingkirkan orang Melayu dan India berpendapatan rendah dari kawasan bandar.

TImbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan undang-undang sedia ada pada masa ini sudah memadai.

"Tiada keperluan untuk wujudkan akta baru untuk pembangunan yang lebih penting demografi di kawasan bandar supaya tidak dimonopoli satu kaum.

"Bila akta ini diluluskan, kawasan tersebut akan dibangunkan semula, mereka yang sebelum ini beli rumah dengan harga lebih RM100,000, mereka tak mampu beli balik rumah dengan harga lebih RM500,000," kata ahli parlimen Kubang Kerian itu.

Bagaimanapun, Anwar semalam menyangkal dakwaan berkenaan dengan memberi jaminan RUU yang dicadangkan itu tidak akan mengubah status tanah yang terlibat.

“Kalau tanah itu tanah rizab Melayu, maka ia kekal rizab Melayu, kalau tanah itu kerajaan negeri kekal (milik) kerajaan negeri, kalau tanah itu milik strata perseorangan (maka ia) kekal,” katanya.

Bukan RUU baru

Mengulas lanjut, Kamil berkata selain Anwar, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata RUU tidak akan memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mengubah status pemilikan lot selain pemilikan bumiputera di sesuatu kawasan.

Katanya, RUU itu juga bukan satu perkara baru bahkan telah dikemukakan sejak tahun 2012 dan diusulkan setahun kemudian, selain proses penggubalan mula dilaksanakan pada 2015.

"Paling jelas ia juga satu rang undang-undang baru yang masih dalam peringkat perancangan dimana pada ketika ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang giat mengumpul dapatan dan maklum balas daripada pihak berkepentingan.

"Rang undang-undang ini juga secara dasarnya boleh dibincangkan sebagai satu perkara yang memfokuskan kepada pelbagai cadangan, pendapat atau kritikan membina dari pihak kerajaan mahupun pembangkang sendiri bagi memastikan hak serta kepentingan golongan sasar itu diutamakan," tegasnya.

Kamil berkata kerajaan percaya rakyat terutama golongan belia tidak akan terperangkap dengan amalan politik perkauman sempit dimainkan pihak pembangkang dalam pelbagai perkara termasuk URA.

"Di pihak kerajaan sendiri, pihak-pihak berwajib akan terus memberi kefahaman dan penjelasan terperinci kepada rakyat terutama golongan yang mendapat manfaat dan kelebihan menerusi rang undang-undang ini sekiranya ia diimplimentasikan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS