Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, berkata pengkritik yang membawa naratif kononnya orang Melayu akan terpinggir melalui penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) sebenarnya meletakkan kekangan kepada golongan berkenaan.
Kata Rodziah walaupun pengkritik - termasuk Pemuda PAS - mendakwa mahu mempertahankan hak orang Melayu di kawasan bandar, apa yang berlaku ialah mereka menghalang kemajuan yang sepatutnya boleh dibawa ke situ.
Tambahan pula, katanya, orang Melayu bandar sudah dibiarkan menderita dan mengalami kemiskinan sejak dulu lagi.
"Ironinya PAS sendiri tidak ada rekod membantu orang Melayu bandar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah bekas exco perumahan, kesejahteraan bandar dan pembangunan usahawan Selangor itu lagi penggubalan URA adalah cara terbaik untuk menghidupkan semupa pusat bandar khususnya yang memiliki infrastruktur semakin tua.
"URA akan membolehkan penstrukturan dan perancangan yang lebih baik dalam perbandaran yang semakin merosot yang pada mulanya berkembang secara serampangan walaupun secara organik.
"Ini akan membolehkan akses yang lebih baik kepada sistem pengangkutan awam yang dipertingkatkan dan institusi utama seperti hospital dan sekolah.
"Pada masa yang sama ia mampu meningkatkan perkhidmatan masyarakat dan meningkatkan peluang pekerjaan," katanya.
Kerajaan dilaporkan bercadang membentangkan rang undang-undang (RUU) berkaitan URA dalam sidang parlimen untuk dibahaskan.
Boleh jana pembangunan
Bagaimanapun ketika butiran mengenainya belum didedahkan secara menyeluruh, sesetengah pihak menentang cadangan berkenaan dengan hujah ia akan menyingkirkan sesetengah pihak - khususnya Melayu dan India - yang berada dalam kategori miskin bandar.
Antara aspek utama yang dipertikaikan ialah nilai ambang persetujuan untuk pemilik sesebuah kawasan yang akan dibangunkan, daripada 100 peratus kepada 80 peratus bagi bangunan berusia kurang daripada 30 tahun, dan sekurang-kurangnya 75 peratus untuk bangunan yang lebih berusia.
Bagi premis yang tidak selamat dan terbengkalai, URA menyasarkan persetujuan majoriti mudah iaitu 51 peratus.
Pada 26 Feb lalu Malaysiakini melaporkan Pemuda PAS menegaskan bantahan mereka terhadap URA dan merancang untuk mengadakan protes besar-besaran jika ia diteruskan oleh kerajaan.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Mohd Hafez Sabri, mendakwa RUU berkenaan bakal menyaksikan penduduk bandar - khususnya masyarakat Melayu Islam yang kurang berkemampuan - diusir dari tanah mereka.

Bahkan Mohd Hafez menganggap URA sebagai satu bentuk penjajahan moden dan menyamakan ia dengan strategi digunakan Israel untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka suatu ketika dahulu.
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, pula menganggap URA akan menjejaskan kuasa politik orang Melayu dan membandingkan cadangan tersebut dengan apa yang berlaku di Singapura.
Rodziah berkata ketika ini seramai 78 peratus rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar utama seperti di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru.
Baca PANDUANKINI | URA Apa kita tahu setakat ini?
Sebahagian daripada mereka, katanya, ialah keluarga Melayu yang berpendapatan rendah dan berlindung di unit kediaman yang sempit serta tidak diselenggara dengan baik di sebalik perkembangan ekonomi negara.
"Bayangkan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengenal pasti sehingga 139 keping tanah di Kuala Lumpur untuk pembangunan semula, dengan 91 daripadanya adalah hartanah kediaman.
"Jika projek di bawah URA diluluskan, ia boleh menjana anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM332.5 bilion," katanya.
Tambah Rodziah, apa yang diinginkan kerajaan ialah menambah baik keadaan hidup rakyat dengan menyediakan rumah yang lebih besar dan selesa untuk penduduk bandar, dengan masyarakat Melayu khususnya, dipengaruhi secara positif.
"Pengkritik harus bermuhasabah dan bertanya kepada diri sendiri - adakan mereka benar-benar mahu membantu dalam hal ini atau sekadar mencari isu untuk dilaungkan," katanya.
