Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak seharusnya bertindak secara berlebihan terhadap Era FM berhubung kontroversi "vel vel" baru-baru ini, kata sayap Pemuda Bersatu (Armada).
Anggota exco Armada Bersatu, Muhammad Khairi Zainol Abidin berkata tiada keperluan bagi badan pengawal selia internet itu untuk menggantung lesen stesen radio tersebut memandangkan tiga penyampai yang terlibat telah pun meminta maaf atas kesilapan mereka.
Sebaliknya, katanya, MCMC juga perlu memberi tumpuan kepada kes-kes lain yang melibatkan penghinaan terhadap agama lain.
"Tindakan ini dianggap keterlaluan kerana ERA FM sudah mengambil tindakan ke atas 3 orang penyampai radio yang dipercayai melakukan tindakan tersebut.

“Tambahan pula kesalahan ini dipercayai hanya dilakukan oleh tiga orang penyampai radio itu sahaja, jadi kenapa SKMM perlu mengambil tindakan sehingga mampu menjejaskan periuk nasi kakitangan lain yang tidak berkaitan.
“Ketiga-tiga orang penyampai radio itu juga sudah memohon maaf dan dikenakan tindakan sewajarnya.
“Sepatutnya MCMC perlu terus fokus untuk ambil tindakan yang seadilnya kepada pelaku yang turut menghina agama lain.
“Jangan hanya tumpu pada kes ini sahaja, sedangkan ada lagi pelaku yang menghina agama lain tetapi tidak diambil tindakan sekeras ini," tegasnya.

Pada Rabu, MCMC mengeluarkan notis hasrat untuk menggantung lesen Astro Audio, pengendali Era FM, berikutan video tular yang menunjukkan penyampai radionya mempersendakan satu upacara agama Hindu.
Pemegang lesen diberikan tempoh 30 hari untuk memberi maklum balas terhadap notis tersebut sebelum keputusan dibuat, menurut MCMC.
Dalam video kontroversi itu, salah seorang penyampai Era FM dilihat menari mengikut laungan "vel vel" oleh beberapa kakitangan lain sebelum dia ketawa terbahak-bahak.
Selepas menerima kecaman, penyampai Era FM, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendy tampil di media sosial untuk meminta maaf atas kesilapan mereka yang "tidak disengajakan" kerana menghina masyarakat India.

Mereka juga telah pergi ke kuil Hindu Batu Caves pada hari yang sama untuk memohon maaf secara langsung.
Selain MCMC, polis turut membuka siasatan terhadap insiden tersebut.
