Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Armizan Mohd Ali menyuarakan harapan agar SPRM segera menyelesaikan siasatan berhubung skandal rasuah yang melibatkan beberapa pemimpin negeri itu dan mengumumkan hasil siasatan secepat mungkin.
Armizan berkata rakyat perlu tahu keputusan siasatan tersebut sebelum pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun ini.
“Saya harap segala siasatan dapat berjalan dengan segera dan kita dapat tahu apa jua tindakan dan hasil siasatan.
“Dengan itu kita akan tahu keadaan sebenar.
“(Saya harap) secepat mungkin. Saya rasa penting untuk rakyat tahu kebenarannya,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata demikian ketika diminta mengulas skandal rasuah di Sabah dan apa rancangan partinya untuk menangani kesan skandal tersebut menjelang PRN.
Sejumlah pemimpin kanan dan Adun di Sabah sebelum ini terpalit dengan skandal itu, apabila timbulnya rakaman video di mana mereka didakwa membincangkan rasuah berkaitan lesen penerokaan mineral.
Pada Khamis lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya sedang menunggu laporan analisis forensik video tersebut.
Dia juga menegaskan dakwaan rasuah membabitkan Adun terbabit bukanlah perkara yang boleh diselindungkan dan pihaknya masih menjalankan siasatan.
Untuk rekod, penggal DUN Sabah akan berakhir pada Oktober ini.

Ditanya jika kerajaan negeri pimpinan GRS bercadang untuk membubarkan DUN lebih awal dan sudah ada tarikh yang ditetapkan, Armizan berkata dia tidak pasti tetapi mengakui terdapat pelbagai cadangan.
“Ada kata nak (bubar) awal, ada yang cadang lepas Pesta Kaamatan (pada akhir Mei).
“Ada yang kata lebih baik (tunggu) lepas kerajaan umum Belanjawan 2026.
“Ada juga yang kata biarlah tempoh penggal habis (baru bubar),” katanya lagi.
Sementara itu, Armizan juga menyuarakan harapannya agar semua parti dan ahli politik di Sabah bersatu.
Katanya, Sabah akan menjadi lebih kuat dan ada kuasa tawar-menawar yang lebih besar jika pelbagai parti dapat bersatu di bawah satu gabungan, seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Apabila ditanya, dia juga bersetuju yang Sabah tidak setegas Sarawak dalam menuntut hak negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.
“Saya rasa antara sebabnya adalah kita terpecah, tiada satu suara. Kalau satu pihak bersuara, pihak lain tak akan sokong.
“Jadi bila tidak ada suara yang kuat dan bersatu, maka sukar untuk kita bangkitkan syor dan pandangan kepada kerajaan persekutuan, untuk berunding dengan kerajaan persekutuan,” katanya lagi.
Ditanya jika dia melihat Sabah akan mampu memiliki gabungan yang bersatu seperti GPS dalam masa terdekat, Armizan mengharapkan demikian namun mengakui ia bukan sesuatu yang mudah.
Menurutnya, Sabah berbeza dengan Sarawak memandangkan kerajaan negerinya turut dianggotai parti dari Semenanjung.
“Saya harap semua pemimpin di Sabah, pada satu masa, dapat duduk bersama. Mereka boleh bekerja bersama dalam satu gerakan.
“Kalau kita sayang dan nak pelihara hak serta kepentingan Sabah, kita tidak boleh ada perpecahan,” katanya lagi.
