Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ini bukan soal ringan, tapi beri Sin Chew ruang bagi penjelasan'
Diterbitkan:  Apr 18, 2025 4:25 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Isu kesilapan bendera yang tidak lengkap di muka depan Sin Chew Daily bukanlah soal yang ringan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim tetapi mahu akhbar itu diberi ruang untuk memberi penjelasannya.

Bercakap pada sidang media di Bangkok, Thailand, hari ini, katanya, semua proses undang-undang yang sewajarnya diutamakan.

“Ini bukan soal yang ringan dan kita mesti ikut proses undang-undang.

“Tetapi saya juga mesti beritahu supaya janganlah nampak kita agak berlebihan-lebihan,” katanya kepada pemberita Malaysia selepas menamatkan sesi lawatan kerjanya hari ini sambil siasatan perlu diteruskan tanpa tekanan.

Pada Selasa lalu, akhbar bahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi tidak lengkap Jalur Gemilang di muka depannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia.

Jalur Gemilang yang diparkan adalah tanpa bulan sabit yang melambangkan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Sejurus menyedari kekhilafan itu, Sin Chew memohon maaf atas "kesilapan teknikal" tersebut. Sambil menzahirkan rasa kesal, mereka juga menyusun jari sepuluh memohon jutaan maaf kepada semua rakyat.

Di sebalik permohonan maaf itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain, semalam memaklumkan bahawa ketua editor dan timbalan ketua penyunting akhbar tersebut ditahan bagi membantu siasatan.

Sin Chew Daily juga dilaporkan menggantung tugas dua editornya susulan kesilapan mencetak ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap itu.

Insiden itu juga mendapat kritikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.

Satu protes juga diadakan pagi ini di luar ibu pejabat Sin Chew di Petaling Jaya, Selangor, dengan beberapa aktivis hak Melayu menggesa pihak pengurusan Sin Chew Daily memecat dua pengarangnya itu.

Ketua Pemuda Perkasa Zool Amali Hussin dan lapan yang lain yang hadir menolak permohonan maaf Sin Chew Daily berikutan kesilapan akhbar tersebut.

"Kami Wira Perkasa Malaysia menolak permohonan maaf. Tiada maaf bagimu.

"Kami menuntut syarikat ini memecat kedua-dua editor itu.

“Jika tidak, Wira Perkasa Malaysia menggesa kerajaan, Kementerian Dalam Negeri menggantung lesen penerbitan kepada Sin Chew Daily kerana ia jelas mencalarkan imej Malayisa," kata Zool Amali, juga dikenali sebagai Bozz Jebat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS