Akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily menggantung tugas dua editornya susulan kesilapan mencetak ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap.
Dua individu dikenakan tindakan tatatertib itu ketua pengarang Chan Aun Kuang dan timbalan ketua subeditor akhbar berkenaan.
“Pihak pengurusan Sin Chew Daily mengumumkan bahawa keputusan ini berkuat kuasa serta-merta dan akan kekal sehingga siasatan selesai,” menurut kenyataan akhbar itu hari ini.
Selasa lalu, Sin Chew Daily menerbitkan ilustrasi sebuah jong di muka depan yang memaparkan bendera Malaysia dan China, sempena lawatan rasmi Presiden China Xi Jinping ke negara ini.

Namun, bendera Malaysia yang dipaparkan tidak lengkap — ia tidak memaparkan bulan sabit — dan perkara itu mencetuskan kritikan serta kecaman daripada pelbagai pihak.
Susulan itu, Sin Chew memohon maaf atas kesilapan berkenaan dan menerbitkan versi pembetulan dalam edisi keesokan harinya.
Akhbar itu menyifatkan kesilapan tersebut sebagai "ralat teknikal".
Pihak pengurusan turut berjanji akan menjalankan semakan menyeluruh serta menambah baik prosedur editorial mereka, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangan yang terlibat.

Dalam pada itu, polis dan Kementerian Dalam Negeri membuka siasatan terhadap akhbar tersebut di bawah Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain hari ini memaklumkan pihaknya telah menyoal siasat timbalan ketua subeditor yang mereka bentuk ilustrasi tersebut serta ketua editor yang meluluskannya.
Siasatan ini dijalankan meskipun beberapa kumpulan masyarakat sivil menggesa agar pihak berkuasa tidak menggunakan tindakan keras atau undang-undang lapuk dalam menangani isu berkenaan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebelum ini menyatakan bahawa Majlis Media adalah platform paling sesuai untuk mengendalikan kes seperti ini, sebaik sahaja ia ditubuhkan.
"Tetapi sementara itu, proses (sedia ada) akan diteruskan," katanya.
