Mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan diadakan Rabu ini bagi membincangkan dakwaan penyelewengan yang berlaku dalam pemilihan dalaman parti yang sedang berlangsung.
Malaysiakini difahamkan bahawa mesyuarat ini dipanggil atas permintaan lebih 20 ahli MPP - melebihi syarat permintaan daripada satu pertiga ahli MPP.
Menurut perlembagaan parti, MPP PKR boleh bersidang di bawah tiga keadaan berikut:
1. Sekurang-kurangnya sekali dalam masa tiga (3) bulan;
2. Pada bila-bila masa atas kehendak Presiden; atau
3. Dengan permintaan bertulis daripada sekurang-kurangnya satu pertiga (1/3) Ahli-ahli Majlis Pimpinan Pusat.
Pasukan menang, ketua kalah
PKR memulakan pemilihan cabang pada 11 April lalu, dengan pusingan akhir berlangsung hari ini (20 April).
Namun, proses itu dilanda pelbagai laporan berhubung dakwaan penyelewengan, termasuk 'keanehan' yang menyaksikan kumpulan tertentu menyapu bersih jawatankuasa cabang tetapi calon ketua cabang mereka tewas.
Trend itu berlaku di banyak tempat dan digelar sesetengah pihak sebagai fenomena "badan tanpa kepala" – pasukan menang, tetapi ketuanya kalah.
Antara contoh paling ketara termasuk Gan Ay Ling di Kangar, Muhammad Bakhtiar Wan Chik di Balik Pulau, Mohd Kamri Kamaruddin di Ampang, Chua Wei Kiat di Selayang, Rodziah Ismail di Shah Alam, dan Ginie Lim di Alor Gajah.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad turut tewas dalam perebutan jawatan ketua cabang Setiawangsa semalam kepada pencabarnya pengarah dan pelakon Afdlin Shauki.
Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada pasukannya turut mengalami fenomena 'badan tanpa kepala' itu.
Mengulas keputusan tersebut, Nik Nazmi memuat naik kenyataan ringkas di Facebook malam tadi.
"Berhubung keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Setiawangsa yang telah diumumkan, saya percaya bahawa proses pemilihan yang telus dan adil adalah asas kekuatan PKR sebagai parti reformasi.
"Namun begitu, kami percaya terdapat beberapa isu yang wajar dibangkitkan dan akan menggunakan saluran serta proses parti yang sewajarnya untuk menyuarakan perkara tersebut.
"Ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk memastikan pemilihan parti dijalankan dengan integriti dan keadilan," kata menteri sumber asli dan kelestarian alam itu.
PKR melaksanakan pemilihan dalaman terutamanya melalui sistem pengundian elektronik.
Namun, ahli yang tidak mempunyai akses internet, atau berusia 60 tahun ke atas serta kurang mahir dengan peranti digital, masih dibenarkan mengundi secara manual.
