PRK AYERR KUNING | Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sekali lagi menyeru umat Islam agar mengutamakan kemenangan dalam landskap politik negara, termasuk menangguhkan rancangan menunaikan ibadah haji ke Mekah.
Merujuk kepada pengajaran daripada kehidupan Nabi Muhammad SAW, Hadi menegaskan penguasaan politik umat Islam ke atas penganut agama lain merupakan ketentuan Allah SWT.
Namun, Hadi mengulangi rungutan sebelum ini bahawa umat Islam di negara ini lebih cenderung menunaikan ibadah haji berbanding berusaha untuk menguasai pentadbiran negara.
“Utamakan kemenangan politik. Nabi nak tunaikan haji pun...nabi mendahulukan kemenangan politik daripada tunaikan haji dan umrah.

"(Ia) boleh ditangguh, kemenangan politik tidak boleh ditangguh," katanya ketika berceramah pada majlis kempen calon PN untuk PRK DUN Ayer Kuning di Tanjung Keramat, Perak malam tadi.
"Kuasa politik yang tinggi mesti orang Islam.
"Allah tak izin orang bukan Islam atasi orang Islam dalam pemerintahan negara,” katanya.
"Kita mesti faham, kemenangan politik kepada Islam sangat penting. Islam mesti berkuasa dan memerintah, memimpin," tegas presiden PAS itu.

Musim haji tahun ini dijangka bermula hujung bulan ini, dengan penerbangan pertama ke Tanah Suci dijadualkan pada 29 April — tiga hari selepas hari mengundi PRK Ayer Kuning.
Hak bukan Islam tetap dihormati, tapi ada batas
Hadi turut berkata walaupun umat Islam mempunyai “hak” untuk memerintah negara namun hak bukan Islam perlu dipelihara.
"Kita orang Islam ada sempadan dengan mereka, malah dalam peperangan kita ada sempadan tak boleh bunuh.
"Kita tak boleh paksa mereka masuk islam, tinggal benda yang dihalalkan agama mereka dan diharamkan agama kita.
"Bukan Islam tetap dihormati dan diiktiraf — selagi amalan yang diharamkan dalam Islam tidak dipaksakan ke atas umat Islam," jelas ahli parlimen Marang itu lagi.
Tidak mengundi boleh jadi dosa besar, kata Hadi
Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022, Hadi pernah meluahkan kekecewaan terhadap kehadiran rendah pengundi Muslim, dan menyifatkan tidak mengundi sebagai dosa besar.
Dia turut menyelar sikap segelintir pengundi Muslim yang memberi alasan sedang menunaikan haji atau umrah, selain menuduh ada yang menunggu bayaran sebelum turun mengundi.
Pengundi Ayer Kuning dijadualkan mengundi selepas tempoh kempen selama dua minggu, dengan PN menampilkan Ketua PN Tapah, Abd Muhaimin Malek sebagai calon manakala BN meletakkan Setiausaha Umno Tapah, Yusri Bakir.
Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS melengkapkan pertandingan tiga penjuru bagi kerusi itu, yang dikosongkan selepas penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 58, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
