Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dikritik hebat susulan kenyataannya yang mencadangkan ibadah haji atau umrah boleh ditangguhkan demi memberi keutamaan kepada kemenangan politik Islam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.
Menurut Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan, kenyataan Abdul Hadi itu satu bentuk penyalahgunaan fakta sejarah Islam serta berpotensi mencetuskan kekeliruan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Dia (Abdul Hadi) menggunakan hujah bahawa Rasulullah SAW sendiri menangguhkan ibadah umrah dan pulang ke Madinah kerana terhalang dengan persetujuan dalam Perjanjian Hudaibiyah.
“Jelas Abdul adi menggunakan hujah ini di luar konteks dan menimbulkan kekeliruan. Pada beliau jemaah haji Malaysia yang menjadi pengundi di PRK DUN Ayer Kuning wajar menangguhkan pemergian mereka ke tanah suci kerana undian dalam PRK lebih utama dari melaksanakan ibadah haji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Hadi ketika berceramah pada majlis kempen calon PN untuk PRK DUN Ayer Kuning di Tanjung Keramat, Perak malam Sabtu lalu, menyeru umat Islam agar mengutamakan kemenangan dalam landskap politik negara, termasuk menangguhkan rancangan menunaikan ibadah haji ke Mekah.
Merujuk kepada pengajaran daripada kehidupan Nabi Muhammad SAW, dia menegaskan penguasaan politik umat Islam ke atas penganut agama lain merupakan ketentuan Allah SWT.

Mengulas seruan presiden PAS itu yang menyamakan situasi tersebut dengan keperluan menangguhkan haji demi memberi undi kepada calon partinya, Amidi menjelaskan bahawa hujah itu adalah di luar konteks dan menafikan bahawa perjuangan politik boleh disamakan dengan strategi dakwah Rasulullah SAW.
“Benarkah pemikiran yang sedemikian? Pertembungan dalam pilihanraya disamakan dengan perang Rasulullah SAW menentang kafir Quraisy? Atau Abdul Hadi sekali lagi mengkafirkan calon Umno yang bertanding?
“Umno dan PH sendiri tidak pernah memusuhi Islam malah kedua-duanya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. BN dan PH melafazkan sumpah yang sama sama dengan sumpah yang dilafazkan Abdul Hadi. Sudah tentu ia lebih teruk dari merapu,” kata bekas presiden Angkatan Belia Islam (Abim) itu.
“Rasulullah SAW berihram di Bir Ali, tanda jelas bahawa baginda dan para sahabat berniat menunaikan umrah, bukan berperang. Bahkan pada ketika itu, bulan Zulkaedah adalah bulan haram berperang menurut adat masyarakat Arab,” katanya.
Tambahnya, dakwaan bahawa Rasulullah SAW mendahulukan strategi politik berbanding ibadah adalah tidak tepat kerana Baginda hanya memeterai Perjanjian Hudaibiyah setelah dihalang memasuki Mekah, bukan kerana memilih untuk menangguhkan ibadah secara sukarela.
“Jika diteruskan niat itu tanpa mempertimbangkan sensitiviti bulan haram, maka Rasulullah SAW boleh dituduh memperalatkan agama. Baginda sangat berhati-hati agar dakwah Islam tidak difitnah atau dicemari,” kata Amidi.
Dia seterusnya menyeru agar masyarakat Islam tidak menjadi taksub kepada tokoh politik sebaliknya menjadikan Allah dan Rasulullah SAW sebagai rujukan utama dalam setiap tindakan dan keputusan.
