Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon menggesa parti itu untuk menentukan masa depannya sendiri jika Barisan Nasional (BN) terus menangguhkan keputusan yang jelas mengenai hala tuju mereka.
Bercakap pada pembukaan Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian MCA Selayang 2025 malam tadi, Chong berkata MCA memberi BN lebih dari dua tahun untuk penyusunan semula selepas PRU15, tetapi ketidakpastian yang berterusan dalam keputusan BN menyebabkan ahli MCA berasa ragu-ragu dan kecewa.
Jika BN masih gagal memberikan arah tujuan yang jelas, MCA perlu mengambil inisiatif untuk menentukan haluan mereka sendiri, katanya lapor Sin Chew Daily.
Chong mencadangkan mesyuarat bahagian MCA di seluruh negara pada bulan Jun ini memberi keutamaan kepada perbincangan mengenai masa depan parti, mengumpul pendapat akar umbi yang akan dipersembahkan kepada kepimpinan pusat.

Dia juga berharap Perhimpunan Agung MCA pada penghujung tahun ini akan menyaksikan perdebatan yang kukuh mengenai hala tuju parti dan kemungkinan sekutu pilihan raya.
Chong merungut walaupun MCA setia sebagai ahli utama BN selama berdekad-dekad namun beranggapan parti itu sering diketepikan.
"Kami (MCA) telah membuat segala usaha yang mungkin untuk menyampaikan pandangan kami kepada Barisan Nasional.
"Termasuk saya telah mengeluarkan banyak kenyataan dan mengemukakan pelbagai idea dan soalan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN dan Mesyuarat Setiausaha Agung," katanya.
Kecewa lepas PRN
Kini, menurutnya, MCA perlu mengubah pemikiran mereka dan membuat keputusan untuk masa depan mereka sendiri.
Merenung kembali pilihan raya di enam negeri pada 2023, Chong berkata keputusan MCA untuk tidak bertanding — selepas rundingan dengan BN dan PH menghasilkan keputusan yang tidak memuaskan — mencetuskan rasa kecewa di kalangan ahli parti.
"Pada pilihan raya negeri Selangor, kami pernah bertanding 14 kerusi, tetapi kali ini, tidak satu pun kerusi diberikan kepada kami.

"Kemudian, semasa pilihan raya kecil Kuala Kubu Bharu — sebuah kerusi tradisional MCA — ia juga tidak diberikan kepada kami. Ahli kami di Selangor berasa lebih kecewa," katanya.
Chong juga menunjukkan rasa tidak puas hati menyebabkan beberapa ahli MCA, termasuk bekas pemimpin, keluar dan menyertai Bersatu, dengan mereka dilapor dijanjikan menjadi calon kerusi parlimen dan DUN — satu perkembangan yang harus diambil serius oleh parti.
Tegasnya, punca utama ketidakpuasan ini kerana MCA tiada hala tuju yang jelas untuk pilihan raya umum akan datang, termasuk ketidaktentuan mengenai pakatan politik masa depan — sama ada untuk terus berada di bawah rangka Kerajaan Perpaduan gabungan Madani atau bertanding secara bebas.
Dia berkata tanpa kerusi pilihan raya untuk ditandingi MCA, motivasi untuk bekerja dan berkhidmat secara tidak langsung akan menurun.
Timb presiden MCA sokong
Menurut Chong lagi, sentimen sama juga mula berkembang di kalangan akar umbi Umno, menandakan rasa tidak pasti itu meluas ke dalam parti teras BN.
Sementara itu, Timbalan Presiden MCA Tan Teik Cheng (gambar bawah) menyokong seruan Chong berkata politik tidak memberi ruang untuk kebajikan atau ihsan maka MCA perlu secara proaktif menentukan masa depannya berdasarkan realiti semasa.

"Dari (era) Parti Perikatan kepada BN, MCA telah berjuang seiring dengan parti komponen BN yang lain selama berdekad-dekad, bersama-sama menempuh pelbagai cabaran.
“Bagi MCA, konsensus BN mengenai kesederhanaan, kepelbagaian dan nilai bersama membolehkan pembelaan hak perlembagaan untuk semua kaum," katanya.
"Sehingga kekalahan BN pada pilihan raya umum 2018 dan 2022, keutamaan MCA untuk maju dan mundur bersama sekutu-sekutu BN untuk mendapatkan semula sokongan rakyat Malaysia."
Namun, kata Tan hampir tiga tahun sejak 2022 dan dengan prospek pilihan raya umum yang akan datang, BN masih belum mempersembahkan pelan yang jelas.

"Sebagai parti yang bebas dan bertanggungjawab, MCA mesti memberi keutamaan kepada kelangsungan dan perkembangan partinya, dan tidak boleh terus kekal pasif," tegasnya.
Dia menyokong seruan perbincangan akar umbi yang meluas bagi merumuskan pelan tindakan dan strategi yang jelas, menyatukan parti untuk mendapatkan sokongan yang lebih kukuh daripada masyarakat umum dan komuniti Cina.
Tan berkata MCA perlu mendekati era baru dengan fikiran terbuka — bukan hanya memelihara hak yang ada, tetapi juga secara aktif mencipta laluan baru.
Dengan menunjukkan reformasi dan inovasi yang sebenar, katanya, MCA dapat membina semula kepercayaan dan pengiktirafan rakyat.