PAS menegaskan dakwaan mengaitkan dua pemimpin parti itu cuba untuk mempengaruhi Pilihan Raya Umum Singapura 2025 sebagai tidak tepat dan berlebihan.
"PAS menghormati perhatian dan kebimbangan Singapura dalam hal ini, namun pada masa sama percaya reaksinya yang membabitkan dua pemimpin PAS itu adalah sedikit berlebih-lebihan dan bersifat sepihak.
“(Ini) terutama sekali ketika PAS sendiri mempunyai hubungan baik dan saling menghormati dengan kerajaan republik itu," kata Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan pada satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, kenyataan yang dibuat oleh Bendahari Agung Iskandar Abdul Samad (gambar bawah) dan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar itu hanya "pandangan peribadi mereka."

"(Ia) tidak sama sekali mewakili dasar dan pandangan PAS sebagai sebuah parti politik, baik tentang Singapura sebagai sebuah negara mahupun proses-proses yang berjalan di republik itu," katanya.
Dua pemimpin PAS pada 26 April menafikan tuduhan kerajaan Singapura yang mendakwa mereka cuba mempengaruhi pengundi republik itu menjelang pilihan raya umum yang dijadualkan pada 3 Mei ini.
Pihak berkuasa Singapura menamakan Iskandar dan Sukri Omar serta seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Zulfikar Mohamad Shariff — seorang bekas warganegara Singapura yang kini menetap di Australia.
Sukri (gambar bawah) memberitahu Malaysiakini dia menghormati kedaulatan Singapura dan undang-undangnya, serta menegaskan dia tidak pernah cuba campur tangan dalam proses demokrasi negara itu.

Menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura dan Jabatan Pilihan Raya, kerajaan republik itu "mengenal pasti beberapa individu asing yang cuba mempengaruhi PRU (pilihan raya umum) ini" dan mengeluarkan "Arahan Pembetulan" kepada Meta untuk menyekat akses kepada posting mereka.
Pihak berkuasa Singapura itu berkata Zulfikar, yang melepaskan kewarganegaraan Singapura pada 2020, "telah menuduh beberapa Ahli Parlimen Melayu-Muslim gagal mewakili kepentingan komuniti Muslim, dan mengatakan komuniti Muslim tempatan tidak memerlukan seorang Ahli Parlimen Melayu yang tidak mewakili pandangan mereka."
Pihak berkuasa Singapura juga mengatakan Sukri telah memuat semula posting Zulfikar. Sementara itu, Iskandar disekat kerana menyatakan sokongan kepada seorang calon dalam pilihan raya tersebut.
Dalam pada itu, Takiyuddin menegaskan PAS menghormati hak kerajaan Singapura untuk mengambil langkah yang wajar bagi melindungi kepentingan negara mereka.
"Dalam dunia tanpa sempadan hari ini yang ditandai oleh akses maklumat dan komunikasi pantas ke seluruh dunia, tidak dapat dielakkan perkembangan yang berlaku di sesebuah negara atau tempat menarik minat atau mendapat reaksi langsung daripada individu di negara lain, terutama dalam hal-hal yang dianggap penting oleh individu terbabit.
"Respons atau reaksi sedemikian tentulah tidak diwajar dianggap percubaan untuk campur tangan melainkan ia melibatkan langkah-langkah susulan sebenar dengan tujuan-tujuan itu," katanya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong (gambar atas, tengah) menegaskan negara itu tidak akan membenarkan campur aduk antara politik dan agama.
Menurut Wong, politik identiti berbahaya jika satu kumpulan mendesak secara agresif untuk menegaskan identitinya, kumpulan-kumpulan yang lain juga akan memberi tindak balas.
“Anda boleh melihat bagaimana ini berlaku di negara-negara lain. Anda akhirnya menyemarakkan kecenderungan terburuk, permusuhan dan perasaan dendam dalam kalangan masyarakat. Tiada siapa yang menang jika ini berlaku," katanya.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Singapura Zaqy Mohamad pula berkata tindakan pemimpin PAS yang didakwa menggesa rakyat negara jiran itu mengundi mengikut garis perkauman dan agama adalah berbahaya.
Dia berkata suasana politik di Singapura tidak seperti Malaysia, dengan parti yang mewakili agama atau kaum berbeza.