Pemuda Bersatu (Armada) menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membatalkan kelulusan cuti kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berikutan ketidaktentuan ekonomi global, kata Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid.
"Negara memerlukan semua anggota jemaah menteri khususnya yang berkaitan dengan ekonomi untuk berkhidmat dan mencari solusi terbaik (dalam menghadapi keadaan ekonomi).
"Dengan ketiadaan menteri ekonomi selama satu bulan yang kritikal di mana banyak perkara polisi yang akan diputuskan oleh Kerajaan, Armada berpendapat bahawa ini adalah satu langkah yang tidak bertanggungjawab terhadap negara dan nasib rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 30 April lalu, seorang menteri yang enggan namanya didedahkan memaklumkan bahawa Rafizi sedang bercuti susulan khabar angin timbalan presiden PKR itu meletak jawatan dalam parti dan kerajaan.
Namun, sumber itu memberitahu bahawa Rafizi hanya bercuti selama "beberapa hari", dan bukannya meletakkan jawatan seperti didakwa.
"Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan mesyuarat kabinet hari ini bahawa Rafizi sedang bercuti beberapa hari.
“Tiada peletakan jawatan berlaku, dan khabar angin ini sama sekali tidak benar,” tambah menteri itu.
Rasa tidak puas hati dilaporkan memuncak dalam kalangan ahli PKR susulan keputusan pemilihan peringkat cabang yang menyaksikan beberapa penyokong kuat Rafizi tewas, menandakan laluan sukar buatnya mempertahankan jawatan nombor dua parti dalam pemilihan kepimpinan pusat PKR bulan depan.
Mengulas lanjut, Harris berkata sekiranya benar Rafizi bercuti kerana isu pemilihan PKR, dia mengingatkan Ahli Parlimen Pandan itu agar tidak mencampuradukkan urusan kerajaan dengan politik dalaman parti.
"Armada ingin memberi amaran kepada semua anggota kabinet untuk tidak mencampuradukkan isu dalaman parti dan pemerintahan negara ini.
"Rakyat tidak bersalah dalam keraguan keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat, maka jangan menghukum rakyat dengan menunjukan tanda protes (kepada parti)," katanya.
