Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Rafizi cuma bercuti, bukan letak jawatan

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sedang bercuti, kata seorang menteri kabinet susulan khabar angin yang mendakwa timbalan presiden PKR itu telah meletakkan jawatan dalam kerajaan.

"Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan mesyuarat kabinet hari ini bahawa Rafizi sedang bercuti beberapa hari.

“Tiada peletakan jawatan berlaku, dan khabar angin ini sama sekali tidak benar," kata menteri berkenaan kepada Malaysiakini dengan syarat namanya tidak didedahkan.

Keresahan mula timbul di kalangan pemimpin parti susulan keputusan pemilihan cabang yang menyaksikan beberapa sekutu rapat Rafizi tersingkir – memberi isyarat laluan getir buatnya dalam mempertahankan jawatan nombor dua PKR dalam pemilihan kepimpinan pusat bulan depan.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi Rafizi bagi mendapatkan respons.

Sementara itu, Presiden PKR merangkap Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa juruaudit bebas telah dilantik untuk menyiasat aduan berkaitan ketidakteraturan dalam pemilihan parti.

"Ada aduan dibuat, kita ambil maklum dan sekarang juruaudit antarabangsa sedang menyemak (aduan) sekiranya ada asas," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR Dr Zaliha Mustafa pula berkata, pengundian semula akan diadakan pada 1 Mei bagi empat cabang – Jempol, Selayang, Silam dan Semporna.

Pemilihan di peringkat cabang itu menyaksikan beberapa nama besar dalam parti tumbang, termasuk Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dan K Saraswathy, Ketua Pemuda PKR Adam Adli, serta beberapa ahli parlimen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS