mk-logo
Berita
Izzah sanggah tohmahan 'PKR parti anak-beranak'
Diterbitkan:  May 9, 2025 4:44 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

Calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, tampil menjawab tanggapan wujudnya unsur kronisme dan nepotisme dengan gelaran ‘parti anak-beranak’ dalam PKR.

Ini susulan keputusan anak sulung Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu untuk bertanding merebut jawatan nombor dua PKR daripada penyandang Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Menurut Izzah, label sedemikian bukanlah perkara baru baginya, malah sudah digunakan sejak awal penubuhan PKR ketika beliau bersama barisan pejuang reformasi mendirikan parti itu pada tahun 1998.

“Label ini telah digunakan untuk memperlekeh perjuangan kita.

“Ketika saya menang naib presiden dengan undian tertinggi pada tahun 2010, 2014 dan 2018, serangan yang sama tetap dilemparkan.

“Hanya pada tahun 2022 sahaja, saya tidak bertanding, sebaliknya saya fokus dan mendukung pergerakan Ayuh Malaysia, yang mana saya memperkenalkan beberapa dasar untuk diperjuangkan,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Penjelasan itu dibuat selepas pencalonan Izzah untuk jawatan timbalan presiden PKR disahkan secara rasmi.

Dalam pada itu, Nurul Izzah menegaskan apa jua gelaran atau persepsi yang dilemparkan terhadapnya — termasuk dakwaan nepotisme — tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat.

Mandat akar umbi

Mengulas lanjut, katanya jika dia memilih mempertahankan jawatan naib presiden, label sama tetap akan dilemparkan.

Justeru, bekas ahli parlimen Permatang Pauh itu menjelaskan pengalaman politik selama puluhan mematangkannya dalam menghadapi kritikan.

“Insya-Allah, kerana yakin bahawa proses bertanding secara terbuka lantas mendapat mandat daripada akar umbi bukanlah satu bentuk nepotisme.

“Sebaliknya, itulah asas demokrasi yang perlu kita pertahankan dalam parti kita ini.

“Pada 2018, saya meletakkan jawatan daripada Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) pada dasarnya menentang kegagalan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ketika itu untuk memastikan perbelanjaan kerajaan dipantau dengan memastikan pembangkang memegang jawatan ketua PAC,” jelasnya.

Izzah turut mendedahkan dia pernah menolak tawaran menyertai kabinet selepas kemenangan PH pada PRU14.

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana lantikan tersebut dibuat oleh perdana menteri ketika itu dan kabinet tersebut turut disertai ibunya, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri.

“Malahan, sekiranya saya menang jawatan timbalan presiden sekalipun, saya tidak berminat dengan jawatan kabinet.

“Saya yakin, mereka yang membaca kenyataan ini dengan penuh rasional dapat membezakan nepotisme iaitu dilantik oleh ahli keluarga untuk sesuatu posisi berbanding pertandingan yang diundi oleh akar umbi,” tambah Nurul Izzah.

Sekiranya diberikan mandat, Izzah menetapkan misinya untuk memperkukuh kerjasama bersama anggota, penyokong dan sukarelawan di peringkat akar umbi — khususnya di 50 kerusi saingan sengit yang akan menjadi medan kritikal dalam PRU akan datang.

Baginya, kemenangan PRU16 akan datang bukan hasil usaha individu, sebaliknya hasil kekuatan kolektif.

“Kita hanya mampu menang dengan menggandingkan kekuatan cabang, jentera akar umbi, menjalar kepada rakyat serta masyarakat menerusi kempen, khidmat dan strategi penerangan efektif yang menambat hati dan keperluan semua.

“Kita tidak boleh lagi bergerak secara terpisah antara pusat dan akar umbi. Kemenangan mampu dicapai dengan kehadiran yang menyantuni rakyat, dan jentera yang hidup dan berfungsi.

“Inilah saatnya untuk kita mengembalikan ideologi asal parti kita, demi menyatukan semula kekuatan PKR dengan roh perjuangan asal - membawa keadilan kepada semua, mengambil kira keperluan sosioekonomi dan peluang yang terbaik tidak mengira bangsa, latar belakang mahupun kepercayaan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS