Lebih sembilan daripada sepuluh penduduk Rawang menolak cadangan projek insinerator loji sisa jadi tenaga (WTE) di kawasan mereka, menurut laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah (SIS).
Menurut EIA yang diterbitkan pada 7 Mei 2025, sebanyak 91.3 peratus responden dalam tinjauan awam tahun ini menyatakan bantahan atau bantahan kuat terhadap projek tersebut.
“Penolakan tinggi ini berpunca daripada kebimbangan terhadap kesan negatif ke atas komuniti sekitar seperti pencemaran udara, bau, habuk dan gangguan aktiviti harian.
"Tambahan pula, kebimbangan terhadap fasa pembinaan dan operasi – termasuk risiko kesihatan, pencemaran, dan banjir kilat – turut menyumbang kepada bantahan,” menurut laporan itu.
Sokongan susut lepas publisiti luas
Tinjauan terdahulu pada 2023 mendapati lebih separuh (52.6 peratus) penduduk pada masa itu menyokong projek tersebut. Namun, perubahan ketara dalam sokongan berlaku selepas peningkatan kesedaran awam terhadap projek itu.
“Pada masa tinjauan pertama pada April 2023, kebanyakan responden belum mengetahui tentang projek yang dicadangkan. Namun selepas itu, projek ini menerima publisiti meluas termasuk di media sosial, menyebabkan perubahan persepsi ketara dalam tinjauan 2025,” kata laporan itu lagi.

Susulan itu, penduduk sekitar tapak projek menubuhkan Jaringan Rawang Tolak Insinerator (RTI) – kumpulan membantah projek tersebut atas alasan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar.
Projek ini dikendalikan oleh KDEB Waste Management dan YTL Power International Bhd, dengan KDEB sebagai anak syarikat kepada Menteri Besar Selangor (Incorporated).
Hanya 8.8 peratus sokong
EIA turut mendedahkan bahawa hanya 8.8 peratus responden menyokong projek ini, dengan hanya 2.5 peratus menyatakan sokongan kuat.
Daripada jumlah kecil yang menyokong, 50.5 peratus menyatakan projek ini akan membawa manfaat alam sekitar seperti kebersihan dan pengurusan sisa lebih baik manakala 43.4 peratus percaya ia mampu menjana pembangunan tempatan.
Bagi yang menolak, 50 peratus menyatakan pencemaran (udara, air, bunyi dan lain-lain) sebagai faktor utama dan 44.8 peratus berpendapat tapak projek tidak sesuai.

Seramai 44,616 penduduk daripada 9,999 isi rumah tinggal dalam lingkungan zon pengaruh (ZOI) projek SIS, dengan 72.7 peratus (32,443 orang) berada di ZOI sekunder (1.5–3km dari tapak) dan 27.3 peratus (12,173 orang) di ZOI primer (dalam 1.5km). Semua responden tinjauan 2025 dari ZOI primer.
Melalui sesi libat urus dengan pihak berkepentingan, isu utama yang dibangkitkan adalah persepsi negatif terhadap projek sebelum pembinaan – sebanyak 82.6 peratus menyuarakan kebimbangan terhadap kesesuaian tapak, teknologi WTE, dasar, penguatkuasaan dan laluan ke tapak.
Dalam pada itu, 77.3 peratus bimbang terhadap kesan ke atas kesihatan dan kualiti hidup komuniti setempat.
Bagaimanapun, laporan EIA menegaskan operasi loji hanya akan memberikan impak sederhana terhadap kualiti udara dan pencemaran bau manakala risiko kesihatan, kualiti air, bunyi dan ekologi dianggap rendah.

Risiko kesihatan daripada pencemaran udara dan air diklasifikasi sebagai sangat rendah hingga sederhana, dan masih dalam tahap risiko kesihatan yang boleh diterima.
Kesan sosioekonomi - positif dan negatif
Dari segi sosioekonomi, EIA menjangka kesan positif tinggi, termasuk pembangunan kapasiti komuniti dan pemerkasaan teknologi hijau di Selangor.
Namun, laporan EIA juga mengenal pasti kesan negatif sederhana, antaranya:
Pencemaran bau di laluan masuk dan kawasan sekeliling.
Pencemaran udara daripada operasi loji.
Kesesakan lalu lintas dan isu keselamatan.
Kerosakan imej dan kualiti persekitaran setempat.
Kesan ke atas penurunan nilai hartanah dijangka pada tahap rendah manakala pencemaran air dari operasi loji dianggap tidak signifikan.
Fasa pembinaan
Fasa pembinaan dijangka memerlukan lebih 1,500 pekerja dengan fasa operasi akan menggaji lebih 100 kakitangan tetap, menurut laporan EIA itu lagi.
Tempoh pembinaan loji dijangka mengambil masa 16 bulan, diikuti pemasangan peralatan dari bulan ke-13 hingga ke-24. Ujian dan pengoperasian dijangka berjalan selama 10 bulan mulai bulan ke-25.
Projek dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 36 bulan.
Laporan EIA ini boleh diakses melalui laman web Jabatan Alam Sekitar sehingga 5 Jun 2025 di pautan ini.
Pautan borang maklum balas awam di sini:
[Baca berita asal]