Nurul Izzah Anwar perlu bersedia untuk menjadi "panglima perang PKR" sekiranya terpilih untuk menjadi timbalan presiden selepas pemilihan parti nanti, menurut Rafizi Ramli.
Penyandang timbalan presiden PKR Rafizi Ramli berkata Nurul Izzah juga tidak boleh lari daripada serangan berhubung nepotisme apabila dia bertanding merebut jawatan itu.
Katanya lagi, bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga perlu bersedia menjadi "kaki pukul" dan berlawan dengan "walaun", merujuk kepada penyokong pembangkang terutama PAS.
"Kalau (Nurul) Izzah menjadi timbalan, dia kena ambil tanggungjawab daripada saya sebagai kaki pukul nombor satu mereka yang menyokong (pembangkang) secara melulu, membongkarkan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS), menjadi perunding parti, berunding dengan BN...kena berlawan dengan walaun.
“Tidak kira siapa yang dipilih untuk menjawat jawatan itu, ia bukan semata-mata tawaran yang diberikan (jika menang pemilihan), sebaliknya bagaimana ia perlu dilakukan dan digerakkan.
"Walau apa juga tawaran yang diberikan, jika tiada taktik yang boleh menghidupkan semangat dan ‘tenaga’ di kawasan itu, ia tidak dapat dilaksanakan,” katanya dalam siaran langsung podcast Yang Bakar Menteri, malam tadi.
Dua hari lalu, Nurul Izzah menolak tanggapan nepotisme dalam PKR hanya kerana dia mencabar jawatan itu, menyifatkannya ia bukanlah serangan baru terhadapnya.
“Label ini telah digunakan untuk memperlekeh perjuangan kita. Ketika saya menang naib presiden dengan undian tertinggi pada tahun 2010, 2014 dan 2018, serangan yang sama tetap dilemparkan,” katanya.
Pemilihan bagi jawatan timbalan presiden PKR menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara kedua-dua pemimpin itu.
Rafizi dijangka berdepan cabaran besar untuk mempertahankan jawatan itu, antaranya selepas ketua-ketua cabang di Terengganu, Melaka dan Kelantan serta menyuarakan sokongan kepada Nurul Izzah.
Sementara itu, Rafizi berkata Nurul Izzah pastinya mempunyai hujah tersendiri untuk bertanding jawatan nombor dua PKR dan perlu bersedia menjawab kepada rakyat, selain berdepan serangan pembangkang.
"Bila Nurul Izzah tanding kerusi timbalan presiden kita, parti tidak boleh lari daripada isu nepotisme. Masing-masing akan ada hujah sendiri.
"Terpulang kepada Nurul Izzah untuk berhujah, saya tidak ada niat panjangkan isu ini tapi saya bimbang persepsi rakyat di luar," katanya lagi.
