Senada dengan pemimpin MIC yang berpandangan Najib Razak lebih banyak berjasa kepada masyarakat India semasa pentadbirannya, Pengerusi Urimai P Ramasamy turut menyindir beberapa pendahulu dan pengganti bekas perdana menteri itu.
“Sebagai kredit untuknya, Najib tidak dilihat sebagai rasis atau ‘sesumpah’ politik seperti sesetengah pendahulu atau penggantinya, yang sering berkata sesuatu di khalayak tetapi bertindak berbeza di belakang.
“Dia menghormati keperluan masyarakat India untuk perwakilan dalam kabinet. Namun, sama ada pemimpin MIC yang dilantik benar-benar memperjuangkan hak masyarakat atau tidak adalah persoalan lain,” katanya.
Bekas pemimpin DAP itu mengulas kenyataan ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC P Kamalanathan, yang berkata Najib menunjukkan keprihatinan yang tulen terhadap masyarakat India melalui tindakannya.

Kamalanathan berkata sepanjang pentadbiran Najib dari 2009 hingga 2018, hampir RM1 bilion telah diperuntukkan untuk pembangunan infrastruktur sekolah Tamil di seluruh negara.
Dia berkata Najib tidak pernah teragak-agak untuk meluluskan peruntukan tambahan demi kemajuan sekolah-sekolah tersebut.
Tiada perdana menteri sebelum atau selepas Najib pernah melakukan perkara seumpama itu, katanya kepada Free Malaysia Today.
Layanan lebih baik
Senada dengan kenyataan itu, Ramasamy berkata memang benar di bawah kepimpinan Najib, bantuan kewangan untuk sekolah Tamil meningkat, bilangan sekolah Tamil bertambah, dan kemasukan pelajar ke program matrikulasi juga menunjukkan peningkatan.
Selain itu, katanya lagi, bekas perdana menteri itu juga dikenali sebagai seorang yang mudah didekati dan terbuka untuk rundingan bersama MIC, yang memainkan peranan penting dalam memperjuangkan masyarakat India.
“Namun, sama ada dana yang diperuntukkan itu benar-benar sampai kepada penerima yang disasarkan atau tidak tetap menjadi persoalan,” katanya lagi.
Menurut Ramasamy, walaupun pendekatan Najib dilihat secara relatifnya lebih baik, itu tidak bermakna dia berjaya merombak struktur perkauman yang telah lama berakar umbi dalam landskap politik dan sosial Malaysia.
“Najib mungkin lebih bersimpati – terutama terhadap golongan bawah dalam masyarakat India – namun dia jauh daripada menjadi seorang reformis atau tokoh luar biasa. Dia tidak melaksanakan langkah-langkah signifikan untuk menangani diskriminasi kaum atau agama yang bersifat sistemik.
“Dalam persekitaran Malaysia yang sangat berpecah dari segi kaum dan agama, sedikit perbezaan daripada norma boleh kelihatan besar. Tindakan Najib berkaitan masyarakat India, walaupun agak sederhana, mungkin diperbesar dalam konteks ini.
“Sebagai sekutu tradisional Umno dan penerima manfaat daripada dasar-dasar Najib, MIC ada segala sebab untuk menonjolkan dan mungkin membesar-besarkan sumbangannya,” katanya lagi.
Sokong usaha pengampunan Najib
Pada Jumaat lalu, Malaysiakini melaporkan tinjauan oleh Merdeka Center mendapati majoriti masyarakat India menyokong usaha pengampunan Najib.
Tinjauan yang dijalankan atas permintaan Projek Sama itu mendapati 62.2 peratus responden kaum India menyokong usaha Najib mendapatkan pengampunan, diikuti bumiputera Islam (50.5 peratus) dan Melayu (43.0 peratus).
Namun, 95 peratus responden kaum Cina tidak setuju dengan permohonan itu, diikuti oleh bumiputera bukan Islam sebanyak 51 peratus.
Tinjauan tersebut dijalankan antara 27 Mac hingga 17 April tahun ini, melibatkan 1,210 responden berusia 18 tahun ke atas.
Pada Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atas Najib atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya.
Namun, pada Februari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.
