Majoriti masyarakat India menyokong permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri Najib Razak, menurut satu tinjauan oleh Merdeka Center.
Tinjauan yang dijalankan atas permintaan Projek Sama itu mendapati 62.2 peratus responden kaum India menyokong usaha Najib mendapatkan pengampunan, diikuti bumiputera Islam (50.5 peratus) dan Melayu (43.0 peratus).
Namun begitu, sebanyak 95 peratus masyarakat Cina membantah permohonan tersebut, diikuti bumiputera bukan Islam sebanyak 51 peratus.
Tinjauan ini dijalankan antara 27 Mac hingga 17 April tahun ini, melibatkan 1,210 responden berumur 18 tahun ke atas.

Temu bual dilakukan melalui panggilan telefon, dengan kadar ralat sebanyak 2.82 peratus.
Responden tinjauan dipilih melalui kaedah pensampelan berstrata rawak berdasarkan etnik, jantina, umur dan negeri — merangkumi semua 222 kawasan parlimen di 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan.
Pada Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan Najib Razak atas satu pertuduhan penyalahgunaan kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas bekas ahli parlimen Pekan itu serta mengenakan denda sebanyak RM210 juta.
Sokongan penyokong PN
Bagaimanapun, pada Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengurangkan tempoh penjara Najib ke enam tahun dan denda kepada RM50 juta.
Walaupun tidak mengejutkan ramai penyokong BN menyokong usaha pengampunan Najib namun terdapat juga sebilangan besar penyokong PN turut memberikan sokongan.

“Sebanyak 67.7 peratus penyokong BN menyokong tindakan itu, dan 44.6 peratus penyokong PN juga turut menyokongnya.
“Bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan, kadar sokongan berada pada 39.2 peratus.
“Penentang paling tegas terhadap rayuan pengampunan Najib ialah penyokong Pakatan Harapan (87.3 peratus), diikuti ‘pengundi lain’ (57.1 peratus), penyokong parti dari Malaysia Timur (54.9 peratus) dan penyokong PN (46.1 peratus),” menurut laporan berkenaan.
Mengenai persoalan tentang hukuman asal 12 tahun penjara dan denda RM210 juta ke atas Najib, Merdeka Center melaporkan lebih 85 peratus responden merasakan tiada keperluan untuk pengurangan hukuman tersebut.

“Kira-kira 44.3 peratus menganggap hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta itu setimpal dengan jenayah yang dilakukan.
“Sebanyak 40.8 peratus pula menganggap hukuman itu terlalu ringan.
“Ini mencadangkan bahawa 85.1 peratus responden tidak melihat keperluan untuk meringankan hukuman atau menukar penalti asal,” menurut laporan itu lagi.
Dua pendirian utama — sama ada hukuman setimpal atau terlalu ringan — merupakan pendapat paling popular merentasi pelbagai segmen masyarakat.
“Dalam kalangan responden Melayu, 44.2 peratus menganggap hukuman itu setimpal manakala 41.4 peratus menganggapnya terlalu ringan.
“Malah, dalam kalangan responden yang cenderung kepada BN, 48.9 peratus bersetuju hukuman itu wajar, sementara 32.8 peratus menganggapnya ringan.
“Peratusan yang melihat hukuman itu ringan lebih tinggi dalam kalangan graduan kolej dan mereka yang berpendapatan isi rumah RM4,000 ke atas,” kata laporan itu.