Seorang pendatang baru PKR mengkritik Rafizi Ramli yang menurutnya mengamalkan sikap “lebih suci daripada orang lain” sama seperti bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Faiz Na'aman, yang menyertai PKR tahun lalu, mendakwa kenyataan terkini timbalan presiden PKR itu bersifat memecahbelahkan, yang mengingatkannya kepada kecenderungan Mahathir untuk melemahkan parti sendiri apabila cita-cita peribadinya gagal dicapai.
“Classic Malay style juga Rafizi ini, macam apa yang Mahathir pernah buat kepada Umno dulu bila hajat politiknya tak kesampaian.
“Rasa diri paling bijak dengan formula, paling berjasa, paling betul dan paling berintegriti main politik,” kaa Faiz yang bekas merupakan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Faiz turut membidas dakwaan Rafizi yang PKR dimasuki gelombang ahli baru yang hanya berminat mendapatkan kuasa dan jawatan, bukannya berjuang atas agenda reformasi parti.

Rafizi sengaja membuat kesimpulan negatif, katanya lagi.
Dia berkata kebanyakan parti politik memang terdiri daripada ahli yang cuba mendaki kedudukan dan tanpa perkara itu, tokoh baru tidak dapat muncul dalam parti.
“Orang lain yang bukan dalam lingkaran dia, yang bukan penyokong dia dalam PKR dan bukan pasukan dia dikira tak betul belaka buat kerja, tak ikhlas berjuang macam dia, tamak jawatan belaka, tak macam puak dia.
“Adakah Rafizi nak kata orang lama tidak perlu dicabar manakala orang baru jangan bertanding? Inikah PKR? Rafizi sendiri tak cantas orang lama ke naik dalam politik PKR?
“Ini cara fikir holier than thou (lebih suci daripada orang lain) yang saya pernah secara kenal bila berhadapan dengan Mahathir dulu dalam MPT Bersatu. Dia kononnya sentiasa betul sebab tua dan berjasa, suka tibai orang lain yang bukan pasukannya secara terbuka,” katanya lagi.
‘Masih mentaliti pembangkang’
Faiz turut membidas kecenderungan Rafizi untuk terus menyerang pihak dalam parti walaupun tindakan itu boleh mencetuskan perpecahan, dan pada masa sama menggambarkan diri sebagai “teraniaya” dalam politik.
“(Mereka) yang hormat bos dan menyantuni hierarki organisasi dianggap penjilat belaka. Bagi saya, ini seperti seorang yang narsistik. Mungkin kena kurang ajar dengan bos dan lawan sistem baru dianggap pejuang.
“Mentaliti masih macam pembangkang walaupun sudah jadi kerajaan dan diberi peluang jadi menteri pula,” katanya.
Mengulas dakwaan Rafizi bahawa PAS kini lebih diyakini pengundi dalam soal antirasuah berbanding PKR, Faiz secara sinis mencadangkan agar Rafizi menyertai PAS jika benar-benar percaya parti pembangkang itu “langsung tiada rasuah”.
Terdahulu, Rafizi dalam ceramah di Seremban membentangkan data yang menunjukkan pengundi berumur 18 hingga 44 tahun lebih yakin dengan keupayaan PAS memerangi rasuah berbanding PKR.
Dia juga membentangkan beberapa data yang menunjukkan sokongan Melayu terhadap PH yang tidak memadai, manakala sokongan pengundi Cina dan India pula menjunam dengan ketara.
Walaupun menyedari tindakannya akan dikritik, Rafizi berkata pendedahan itu perlu dibuat, sambil membangkitkan kepada bagaimana pentadbiran terdahulu tumbang kerana masalah diselindungkan.
Rafizi dalam usaha mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR dalam pertandingan satu lawan satu menentang naib presiden Nurul Izzah Anwar. Pemilihan PKR dijadualkan pada 23 Mei ini.
