Pengerusi PN Sabah, Ronald Kiandee mengingatkan PAS supaya tidak membuat keputusan tergesa-gesa berhubung kemungkinan kerjasama gabungan itu dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Mengulas kenyataan pemimpin PAS Annuar Musa, Kiandee berkata sukar untuk mana-mana parti membuat pendirian tegas mengenai kerjasama kerana landskap politik Sabah sentiasa berubah-ubah.
“Annuar sepatutnya tidak terperangkap membuat komen terlalu awal kerana dinamika politik sabah masih berjalan, kenyataannya telah terbatal disebabkan perkembangan semasa,” katanya seperti dilapor FMT.
Ahli parlimen Beluran itu berkata dia menjangkakan perkembangan baru berkaitan penyusunan semula kerjasama politik melibatkan GRS, PH dan BN selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam menggesa tiga gabungan itu bekerjasama demi kestabilan negara dan politik negeri.

“Saya selaku ketua PN dan Bersatu di Sabah telah memberi taklimat terperinci berdasarkan keadaan dan perkembangan semasa politik Sabah.
"Annuar patut beri cadangan itu kepada wakil PAS untuk dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN,” tambah Kiandee.
Annuar menerusi pandangan peribadinya semalam, mencadangkan PN menyokong GRS dalam PRN Sabah memandangkan PH dan BN telah mengumumkan kerjasama pilihan raya mereka sendiri.
Bekas setiausaha agung Umno itu juga berharap PN meneliti pilihan bertanding di bawah logo GRS atau bahkan mempertimbangkan untuk tidak bertanding langsung.

Selain Annuar, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man turut mencadangkan agar PN, GRS dan Warisan membentuk pakatan bagi menentang BN-Harapan.
“Umno dah buat keputusan yang dia akan bekerjasama dengan PH, cuma di Sabah ini kita ada parti Warisan, GRS, PN, jadi saya rasa kalau kita boleh wujudkan satu gabungan besar itu lebih baik.
"Dan saya melihat perlunya kerangka ini, parti-parti PN, GRS, Warisan dapat diwujudkan satu gabungan untuk kita hadapi gabungan Umno-PH,” katanya.
Tuan Ibrahim turut menegaskan PAS mempunyai hubungan baik dengan GRS dan akan berbincang dengan Bersatu untuk mengkaji keperluan membentuk satu gabungan kuat dalam PRN akan datang.