Persoalan terus dibangkitkan jika rakyat Malaysia akan dapat menyaksikan dokumen rasmi berkaitan rusuhan berdarah 13 Mei 1969 dinyahklasifikasikan suatu hari nanti.
Ahli akademik Dr Sharifah Munirah Alatas (gambar bawah) menegaskan penarikan sekatan kerahsiaan yang dikuatkuasakan melalui Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) akan membuka ruang untuk mengetahui angka sebenar korban dan identiti mangsa.
“Daripada surat-menyurat asing, kita sudah ada gambaran siapa majoriti mangsa yang terkorban. Jadi, kita boleh menyokong bukti seperti itu.
“Tapi, sudah tentu kita hanya akan tahu pasti apabila dokumen kerajaan di bawah OSA itu dinyahklasifikasikan…

"Saya sendiri tak pasti kita akan sempat hidup untuk lihat itu berlaku,” katanya pada podcast Straight Talk terbitan Malaysiakini yang dihoskan bekas diplomat, Dennis Ignatius.
Munirah, bekas profesor madya kajian strategik dan hubungan antarabangsa di Universiti Kebangsaan Malaysia, turut berkata kebenaran dan perdamaian hanya dapat dijamin kepada keluarga mangsa melalui pembebasan dokumen berkaitan tragedi itu.
Tegasnya sebagai sebuah negara yang “berasaskan nilai Islam”, berpaling daripada tragedi 13 Mei atau menyorokkan kebenarannya di bawah kerahsiaan merupakan satu ketidakadilan.
“Adalah sesuatu yang Islamik, beretika dan bermoral untuk mengakui apa yang telah berlaku. Kita berhutang kepada para mangsa dan keluarga mereka untuk mewujudkan memorial dan mengiktirafnya setiap tahun, sebagai tanda hormat kepada nyawa yang telah hilang.

“Dengan membisukan atau mengabaikan apa yang berlaku, ia sebenarnya membawa kesan negatif dan bukan cara yang betul menurut agama,” tegas Munirah.
Walaupun Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang ditubuhkan pada 15 Mei 1969 sebagai badan pentadbiran darurat menerbitkan kertas putih berkaitan rusuhan itu pada Oktober tahun yang sama, versi laporan itu terus dipersoalkan.
Perbezaan angka korban sering menjadi perdebatan. Laporan Mageran mencatatkan 196 kematian manakala diplomat British pada ketika itu menganggarkan jumlahnya sekitar 800 orang.
Menurut Mageran, rusuhan itu berlaku secara spontan akibat perarakan dan sambutan berlebihan yang dilakukan parti pembangkang selepas memenangi kira-kira separuh kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor pada pilihan raya umum 1969.

Namun, terdapat pakar sejarah dan ahli akademik yang berpendapat rusuhan itu sebenarnya menjadi selubung untuk rampasan kuasa terhadap perdana menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman, memihak kepada timbalannya, Abdul Razak Hussein. Kenaikan Razak ke jawatan perdana menteri pada 1970 dianggap sebagai bukti teori konspirasi tersebut.
Mengulas pertanyaan blogger Syed Akbar Ali sama ada kerajaan ketika itu cuba “memanipulasi” rusuhan atau ia sudah dirancang lebih awal, Munirah menegaskan hanya pendedahan dokumen di bawah OSA yang boleh memberikan jawapan sebenar.
Ditanya pandangannya mengapa kerajaan-kerajaan yang memerintah selepas itu, termasuk pentadbiran Madani, dilihat enggan mendedahkan dokumen berkenaan, bekas ahli parlimen DAP dan aktivis hak asasi manusia, Kua Kia Soong pula berpendapat kehadiran Umno dalam kerajaan mungkin menjadi faktor.
“Kerajaan yang dikatakan reformasi ini masih ada Umno di dalamnya. Orang-orang yang menjadi sebahagian daripada sistem ketika itu masih ada, malah ada antara reformis baru kini juga bekas pemimpin Umno,” katanya.

“Mereka mungkin berat hati mendedahkan dokumen rasmi berkaitan 13 Mei.
“Di kebanyakan negara, selepas 30 tahun, dokumen rasmi akan dinyahklasifikasikan. Di negara ini, tiada alasan mengapa kita tidak boleh melakukannya selepas 55 tahun,” tambahnya.
Buku Kua bertajuk May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969 pernah dirampas Kementerian Dalam Negeri pada Mei 2007.
Penerbitan itu dihasilkan selepas tiga bulan penyelidikan di Pejabat Rekod Awam di London untuk mengkaji rekod dan dokumen berkaitan rusuhan kaum tersebut, yang kemudian turut mendapat desakan agar diharamkan oleh tiga senator di Dewan Negara.
[Baca berita asal]
