PAS diminta memikul tanggungjawab penuh berhubung kesilapan Jalur Gemilang yang dipaparkan dalam logo promosi Himpunan Teguh Memimpin Terengganu dan menyerahkan individu bertanggungjawab kepada pihak berkuasa.
Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat berkata pimpinan PAS tidak seharusnya hanya berani bersuara lantang apabila pihak lain melakukan kesilapan, tetapi memilih untuk berdiam diri apabila ia berlaku dalam parti sendiri.
“Kita masih ingat bagaimana Pemuda PAS begitu garang dan lantang menyerang insiden kesilapan Jalur Gemilang dalam akhbar Sin Chew sebelum ini.
“Mereka menuntut tindakan tegas, menyindir bahawa permohonan maaf bukan lesen untuk terlepas hukuman. Malah mereka cuba meniup api perkauman demi menangguk di air keruh.
“Tapi hari ini, apabila kesilapan lebih serius melibatkan PAS, dan sebagai parti kerajaan negeri di Terengganu, mereka memaparkan Jalur Gemilang yang tidak lengkap dan mencemarkan simbol negara, tiba-tiba semua diam membisu, hanya permohonan maaf senyap-senyap, seolah-olah rakyat mudah lupa.
“Jadi, kalau benar PAS ikhlas mahu menegakkan patriotisme, saya cabar mereka serahkan individu yang bertanggungjawab kepada pihak polis untuk disiasat.
"Jangan hanya berani bila lawan yang silap, tapi bacul bila sendiri yang buat,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Kenyataan Chua menyusul selepas kontroversi poster rasmi terbitan PAS Terengganu untuk mempromosikan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) 2025 yang dijadual berlangsung di Kemaman pada 29 dan 31 Mei ini.
Logo acara itu memaparkan Jalur Gemilang di sebelah kiri, logo PAS di tengah dan bendera Terengganu di sebelah kanan.
Namun, logo itu menerima kritikan warga maya kerana hanya memaparkan bintang kuning 11 bucu dan 12 jalur merah putih — berbeza dengan Jalur Gemilang sebenar yang mempunyai 14 bucu dan 14 jalur, melambangkan 13 negeri serta Wilayah Persekutuan.
Kejadian ini tambahan kepada beberapa kes lain sejak bulan lalu membabitkan Jalur Gemilang diterbitkan dengan kecacatan, termasuk akhbar Sin Chew Daily yang memaparkan ilustrasi tanpa bulan sabit dan Kwong Wah Yit Poh yang menyiarkan foto bendera dengan bintang 13 bucu di Bukit Bintang.
Chua yang juga Adun Rawang menegaskan Jalur Gemilang bukan milik mana-mana parti politik, sebaliknya lambang kedaulatan negara.
“Kalau mereka sanggup berkeras terhadap orang lain kononnya atas nama cinta negara, mengapa kini pilih jalan selamat bila kesilapan datang dari dalam rumah sendiri?
“Ini bukti nyata bahawa ada pihak menggunakan semangat kebangsaan hanya bila ia boleh dipolitikkan untuk kepentingan kaum dan agama. Sikap ini bukan saja hipokrit, malah merosakkan asas perpaduan negara,” katanya.
Dia turut mengingatkan semua pihak, politik perkauman hanya akan meracuni suasana negara.
“Ketika pihak lain melakukan kesilapan, mereka dihentam tanpa belas. Tetapi bila terkena batang hidung sendiri, senyap seribu bahasa.
“Malaysia memerlukan politik yang matang, adil, dan berprinsip, bukan politik dua wajah. Cukup-cukuplah bermain dengan sentimen, rakyat kini lebih bijak dan muak dengan permainan hipokrit seperti ini,” katanya.
