mk-logo
Berita
Ling dakwa suami tipu, jual daging tak halal dilabel halal - laporan
Diterbitkan:  May 14, 2025 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Pertikaian penceraian berprofil tinggi antara wanita yang kini dilaporkan hilang, Pamela Ling, dan suaminya ahli perniagaan Malaysia Thomas Hah Tiing Siu, kini bertambah rumit dengan dakwaan tandatangan palsu dan penipuan label makanan halal.

The Edge melaporkan dokumen mahkamah difailkan Ling di Singapura mendedahkan dakwaan bahawa Hah secara salah mengisytiharkan produk daging tanpa sijil halal sebagai halal bagi mengeksploitasi kadar cukai import yang lebih rendah.

Pada 7 April lalu, dua hari sebelum kehilangannya, Ling dilapor memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Pengarah Imigresen.

Dalam permohonannya, Ling memohon agar waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Johor Bahru terhadapnya pada 2 Disember 2024 dibatalkan.

Thomas Hah Tiing Siu.

Dia juga memohon deklarasi bahawa SPRM tidak mempunyai kuasa menghalang sesiapa meninggalkan Malaysia kecuali melalui saluran sah, pemulangan dua telefon bimbit yang dirampas SPRM, perintah mandamus memaksa Imigresen membenarkannya keluar dari Malaysia serta pampasan sebanyak S$20,401.14 (RM67,700) dan RM70,000 bagi perbelanjaan yang telah ditanggung, selain tuntutan lain.

Menurut The Edge, Ling mendakwa tandatangannya dipalsukan pada Julai 2023 dalam beberapa dokumen pemindahan saham dan resolusi lembaga yang mengakibatkan pemindahan lebih separuh pegangan sahamnya dalam Multi Galaxy Pte Ltd (dahulunya Joinland Group Pte Ltd) kepada Hah. Syarikat itu terlibat dalam penyewaan hartanah.

Ling dalam permohonan semakan kehakimannya mendakwa penahanan, sekatan perjalanan dan tindakan pihak berkuasa Malaysia terhadapnya bertujuan memaksa dirinya menggugurkan tuntutan berkaitan harta sepencarian dan pertikaian lain dengan Hah.

The Edge memetik afidavit bahawa Ling pada Disember 2023 membuat aduan kepada Pihak Berkuasa Pengawalseliaan Korporat dan Perakaunan (ACRA) Singapura mempertikaikan kesahihan pemindahan saham itu dan turut membuat laporan polis di Singapura menuduh Hah memalsukan tandatangannya.

Polis Singapura dilaporkan telah merampas dokumen yang dikatakan mempunyai tandatangan palsu dan menghantarnya untuk analisis forensik.

"Bagi membetulkan rekod daftar kerajaan Singapura dan urusan Multi Galaxy, serta kerana permit kerjanya berkaitan syarikat itu, Ling memfailkan saman terhadap Hah dan setiausaha syarikat, Ho Man Leong, yang memudahkan pemindahan saham dan perlantikan Hah sebagai pengarah Multi Galaxy, pada Oktober 2024.

"Menurut permohonan semakan kehakiman Ling, Hah memohon mahkamah Singapura menangguhkan kes Multi Galaxy pada 25 Ogos 2024 sementara menunggu selesai kes penceraian di Malaysia namun permohonannya ditolak," lapor The Edge.

Dalam dokumen mahkamah yang dipetik The Edge itu, Ling berkata: "Hah jelas bimbang akan kesan daripada pemalsuan dokumen yang dipertikaikan dan kemungkinan saya memulakan tindakan undang-undang mengenai perkara itu."

SPRM siasat keluarga Ling

Ling mendakwa Hah memanipulasi SPRM sebagai alat untuk memaksa dia menyelesaikan pertikaian mereka, khususnya berhubung dakwaannya bahawa suaminya memalsukan tandatangan pada dokumen terbabit.

Menurut laporan The Edge lagi, tiga pegawai SPRM menemui abang Ling pada Julai 2024 untuk mengetahui keberadaan wanita itu manakala bapanya kemudian dimaklumkan SPRM mahu menyoal siasat Ling berhubung dakwaan Hah mengimport daging tanpa sijil halal dan menjualnya sebagai halal.

Ling turut mendakwa akaun bank bapanya di Malaysia dibekukan kerana siasatan SPRM ke atas perniagaan keluarganya, malah dalam beberapa pertemuan, bapanya didakwa dimaklumkan bahawa siasatan terhadapnya akan dihentikan jika dia dapat memujuk Ling memindahkan harta sepencarian kepada Hah. Ling dilaporkan enggan akur.

Gambar hiasan.

Pada Oktober 2024, Ling diberitahu pegawai Biro Siasatan Amalan Rasuah Singapura (CPIB) bahawa dia perlu menghadiri pertemuan dengan SPRM pada 29 Oktober 2024 di pejabat CPIB.

The Edge melaporkan selain isu daging halal, pegawai SPRM turut menyoal Ling berhubung Sky Vantage Pte Ltd, yang dikatakan diuruskan bapanya dan sedang disiasat di Malaysia sebagai perantara jualan diesel.

Ling dilapor sedia bekerjasama dengan SPRM, tetapi memohon sebarang pertemuan diadakan di Singapura atau secara maya kerana dua anaknya mempunyai masalah kesihatan kronik dan sedang menerima rawatan di Singapura.

Namun, dia diarahkan hadir di pejabat SPRM Johor Bahru pada 30 Oktober 2024 untuk membantu siasatan, tetapi Ling enggan hadir kerana khuatir keselamatannya menyebut pengaruh suaminya.

Suami terbabit kehilangan?

Pada masa sama, bapanya yang disoal SPRM berkaitan Sky Vantage dilaporkan menerima tawaran kompaun daripada agensi itu yang kemudian diselesaikan namun butiran kesalahan itu tidak didedahkan.

Pada 2 Mei lalu, keluarga Ling mendedahkan wanita berusia 42 tahun itu dalam perjalanan untuk bertemu pegawai SPRM pada 9 April untuk membantu siasatan pengubahan wang haram tetapi diculik sebelum sempat tiba di lokasi.

Pemandu Grab yang membawa Ling mendakwa keretanya dihentikan individu berpakaian seragam polis yang memaksa Ling keluar dari kenderaan dan memaksanya menandakan perjalanan sebagai "selesai".

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan polis menyiasat kemungkinan suami Ling terlibat dalam penculikannya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS