Kelemahan sokongan pengundi Melayu kepada PH seperti didedahkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, beberapa hari lalu dilihat bukanlah suatu perkembangan baru.
Namun beberapa penganalisis yang dihubungi Malaysiakini melihat ia memberi isyarat signifikan betapa gabungan terbabit perlu meneroka ruang lebih berkesan dalam memperkasakan pengaruh mereka, sekali gus menangani isu-isu kemerosotan sokongan.
Permasalahan itu juga memberi maksud betapa pimpinan yang akan diberi mandat mengisi barisan kepimpinan PKR selepas pemilihan nanti bakal menggalas tanggungjawab di bahu masing-masing.
Penganalisis politik Prof Madya Mohd Yusri Ibrahim berkata pendedahan dinyatakan Ahli parlimen Pandan itu juga selari dengan dapatan dan analisis pihaknya sebelum ini.
Katanya ia termasuk status peratusan sokongan pengundi kepada PH dalam PRU ke-15 pada 2022 dan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri setahun kemudian.
Katanya, dapatan diperolehi melalui kajian pihaknya sebelum ini menunjukkan bahawa purata sokongan pengundi Melayu kepada PH hanyalah pada paras sekitar 25 peratus.
"Keadaan tersebut tidak banyak berubah sehingga kini. Tahap sokongan Melayu sekarang agak statik, hampir sama dengan tahun 2022 dan 2023.
"Sokongan Melayu kepada kerajaan meningkat sedikit sekarang melalui segmen Umno, apabila parti tersebut menyertai kerajaan perpaduan,” katanya semalam.

Ketua Penyelidikan Ilham Centre itu juga menjelaskan sokongan orang Melayu kepada PH memang tidak menunjukkan perubahan ketara sejak sekian lama dan apa yang berlaku ialah ia bertahan pada kadar tersebut.
Katanya PKR dan DAP – yang menjadi salah satu parti komponen PH sekarang – mendapat sokongan Melayu dalam PRU 2008 dan 2013 kerana ia dibawa PAS ketika mereka bersama dalam Pakatan Rakyat.
"Apabila PH ditubuhkan dan menghadapi PRU 2018, sokongan Melayu kepada PH pula datang daripada segmen Bersatu, khususnya melalui populariti figura-figura besar yang bersama parti itu seperti Dr Mahathir Mohamad dan lain-lain," katanya.
Terdahulu Rafizi dalam kempen mempertahankan jawatannya dalam pemilihan PKR mendedahkan parti itu dan PH tidak berada dalam kedudukan selesa untuk memenangi PRU akan datang.
Menteri Ekonomi itu merujuk data yang menunjukkan sokongan orang Melayu terhadap PH masih tidak mencukupi, manakala sokongan pengundi Cina dan India merosot dengan mendadak.
Menurut Rafizi, sokongan Melayu terhadap PH berada pada kadar 27 peratus setakat April tahun ini, meningkat sedikit daripada 20 peratus pada Ogos 2020.
Sementara belum ada alternatif
Mohd Yusri berkata PH perlu segera memperkasa parti bernuansa Melayu dalam gabungannya seperti Amanah, selain memperkasa hubungan strategik dengan parti berpengaruh Melayu.
Contohnya, kata Mohd Yusri, melalui kerjasama dengan Umno sekarang.
"PH juga perlu kekalkan semaksimum mungkin undi teras Melayu sedia ada dengan polisi-polis ekonomi dan pentadbiran yang mesra Melayu.
“Contohnya, antara segmen Melayu yang sokong PH sebelum ini ialah kumpulan kelas menengah dan ke atas, termasuk T20.
"Polisi-polisi kerajaan yang diterajui PH sepatutnya dilihat mesra dengan kelompok terbabit khususnya dalam polisi ekonomi seperti cukai dan subsidi, bukan dilihat tidak sebaliknya.
“Mereka (Melayu kelas pertengahan dan atas) antara kelompok yang mengundi PH, tiba-tiba polisi kerajaan tidak mesra mereka, lama-kelamaan mereka akan menjauhi PH," katanya.
Tambah Mohd Yusri, bagi segmen pengundi bukan Melayu pula mereka adalah kelompok etnik paling besar memberi undi kepada PH dalam siri-siri pilihan raya mutakhir.

"Namun maklum balas yang kami terima di lapangan, mereka rasa polisi ekonomi semasa kerajaan kurang mesra kepada mereka.
“Memang wujud rasa kecewa dalam kalangan pengundi Cina khususnya terhadap PH.
"Cuma PH masih bernasib baik kerana mereka masih tidak mempunyai alternatif selain PH. Buat masa ini, mereka belum tertarik dengan political will (kesungguhan politik) yang ditunjukkan oleh PN.
“Jika ada alternatif lain yang lebih menarik, mungkin mereka akan menukar sokongan,” katanya.
Banyak beralih ke PN
Atas faktor tiada alternatif lebih baik itu, menurut pensyarah kanan Universiti Malaysia Terengganu berkenaan, secara umumnya sebahagian besar pengundi bukan Melayu mungkin akan terus memilih PH selepas ini.
Pun begitu, katanya, ia diberikan dengan motivasi yang semakin berkurang, malah sebahagian lagi berisiko mengambil keputusan untuk tidak keluar mengundi.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali turut bersetuju bahawa peratusan rendah sokongan Melayu kepada PH rendah sejak dahulu lagi, namun berlaku peningkatan berdasarkan beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) lalu sejak Anwar Ibrahim menerajui Putrajaya.
"Sebab itu PH kalah di kawasan majoriti Melayu terutama di Pantai Timur, di Utara malah di sebahagian kawasan negeri Selangor seperti di Hulu Selangor dan Sabak Bernam.
“Malah PH pun kalah sebab pengundi Melayu di situ banyak beralih kepada PN.
"Tetapi pada asasnya sejak Anwar menjadi perdana menteri, sokongan kepada parti-parti dalam kerajaan perpaduan ada peningkatan,” katanya.

Sebagai bukti, Mazlan merujuk kepada siri PRK yang berlangsung sebelum ini, antaranya di Kuala Kubu Bharu, Nenggiri, Mahkota dan terbaru di Ayer Kuning.
Katanya keputusan menunjukkan ada perubahan sokongan orang Melayu dan rakyat secara keseluruhan, termasuklah bukan Melayu kepada kerajaan.
“Hari ini sokongan kepada kerajaan Madani secara keseluruhannya meningkat kerana di situ ada Umno, maka Umno sekarang juga bersama dengan PH," katanya.
Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula menyifatkan dapatan dikemukan Rafizi mencerminkan cabaran serius dihadapi PH tersebut menjelang PRU ke-16 dan perlu ditangani segera.

Jelasnya, kenyataan itu perlu disambut secara serius, bukannya diperlekehkan.
Malah, kata Awang Azman, sewajarnya ia dijadikan agenda ke hadapan oleh PH dan mereka wajar mengelak amalan menuding jari mencari salah terhadap mana-mana pihak.
"Kegagalan meningkatkan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu dan bukan Melayu, serta membina semula kepercayaan terhadap usaha memerangi rasuah boleh menyebabkan kehilangan kerusi parlimen dalam PRU ke-16.
“Ini bakal menjejaskan kedudukan kerajaan perpaduan.
"Sebab itu, Rafizi mengingatkan bahawa tanpa perubahan strategi dan pendekatan yang berkesan, PH berisiko mengalami nasib yang sama seperti BN pada PRU ke-14,” katanya.
Perlu yakinkan pengundi atas pagar
Menurut Awang Azman lagi, amaran awal Rafizi kepada PKR dan PH bahawa ada keperluan mendesak untuk menilai semula strategi politik dan dasar mereka perlu dilihat dalam konteks masa depan politik, bukan sekadar isu persaingan jawatan timbalan presiden.
Dalam perkembangan sama penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Sivamurugan Pandian menjelaskan, dalam menangani pengaruh dan sokongan terhadap PH, sebarang kajian wajar dijadikan panduan untuk mencari strategi dan intervensi dasar.
Barangkali, katanya, ia perlu diterjemah daripada apa yang ditawarkan dalam manifesto sewaktu pilihan raya berlangsung.

"Dan selepas 26 bulan ada segelintir (rakyat) belum merasai sepenuhnya (perubahan yang dijanjikan).
“Misalnya terkait isu-isu ekonomi, kos sara hidup, cukai dan subsidi. Begitu juga dasar ke atas T20, M40 dan B40 juga ada impaknya.
"Memandangkan kini PH sebahagian daripada kerajaan dan ia (dasar) datang daripada Kementerian Ekonomi. Justeru strategi dan intervensi segera dan jangka pendek perlu dilakukan bagi meningkatkan sokongan.
“Apatah lagi ada sekitar 26 peratus pengundi atas pagar yang perlu diyakinkan dan dizahirkan kepercayaan,” katanya.
Tambah Sivamurugan, memang perdana menteri giat melakukan sesi libat urus dengan pelbagai pihak namun segmen pengundi muda tidak boleh dikesampingkan, malah diberi penekanan lebih.
"Soal bagaimana dengan tawaran seperti peluang pekerjaan, perniagaan dan kewangan yang informasinya perlu sampai ke semua lapisan masyarakat," katanya.
