Seorang aktivis kebajikan haiwan mengecam Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, susulan kenyataannya mempertahankan tindakan kerajaan negeri membunuh anjing jalanan.
Adakah Aminuddin (gambar judul) menganggap dirinya seorang pembenci haiwan, soal aktivis Global Human Rights Federation (GHRF) S Shashi Kumar.
Ini berikutan kenyataan Aminuddin semalam yang mengkritik NGO dan aktivis yang mengadakan protes membantah dasar kerajaan negeri itu, serta mencabar mereka mengambil dan menjaga semua anjing jalanan tersebut.
Shashi (gambar bawah) turut mempertikaikan motif Negeri Sembilan tergesa-gesa meneruskan operasi pelupusan anjing jalanan ketika rundingan masih berjalan antara NGO dan Kerajaan Persekutuan untuk mencari mekanisme yang lebih berkesan menangani populasi haiwan jalanan yang semakin meningkat.

"Kami telah mengemukakan tiga cadangan untuk mengurangkan jumlah anjing jalanan. Semua kertas kerja dan anggaran bajet telah diserahkan kepada kerajaan bulan lalu.
"Kami merancang untuk mengadakan mesyuarat seterusnya dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan kerana Jabatan Perkhidmatan Veterinar berada di bawah kementerian itu. Dan mereka telah bersetuju.
"Jadi sekarang, ketika rundingan masih berjalan, kenapa Negeri Sembilan tergesa-gesa untuk terus membunuh anjing jalanan," soalnya kepada Malaysiakini.
Terdahulu, Aminuddin dilaporkan menempelak NGO dan aktivis yang mengadakan protes terhadap kerajaan Negeri Sembilan minggu lalu.

Menurut laporan Sinar Harian, menteri besar itu bertegas pihaknya akan tetap meneruskan operasi pelupusan anjing jalanan.
"Pelupusan ini akan mengikut peraturan yang ditetapkan. Jika mengikut prosedur operasi standard (SOP), anjing-anjing ini akan disimpan selama beberapa hari selepas ditangkap.
“Dalam tempoh ini, NGO atau individu persendirian yang mahu membantu boleh mengambil dan memelihara anjing-anjing ini di rumah,” kata Aminuddin.
Menteri besar itu turut mendakwa NGO telah diberikan kawasan tanah untuk menjalankan program perlindungan haiwan, namun ada yang didakwa melepaskan semula anjing yang diselamatkan ke tempat awam.

Mengulas dakwaan itu, Shashi Kumar menyoal keikhlasan Aminuddin menawarkan NGO untuk menjaga anjing yang ditahan di pusat kurungan haiwan kerajaan.
Dakwanya, banyak pihak berkuasa tempatan mengenakan bayaran tinggi kepada NGO yang ingin menuntut semula anjing tersebut, dengan sesetengahnya mencecah antara RM1,000 hingga RM2,000 seekor.
"Pengambilan (anjing jalanan) seharusnya percuma kerana ini haiwan jalanan, tiada pemilik. Kenapa saya perlu bayar RM1,000?
"Mana-mana pihak berkuasa tempatan akan mengenakan bayaran untuk setiap anjing jalanan yang mereka tangkap," katanya lagi.
Shashi Kumar turut menolak hujah kerajaan negeri bahawa anjing jalanan mengancam keselamatan awam.
Katanya, anjing jalanan biasanya bersikap mesra dan tidak agresif jika dibiarkan dan tidak diprovokasi.
Sebaliknya, aktivis itu mencadangkan pihak berkuasa memperbanyakkan program pendidikan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat tentang anjing dan cara melayani mereka dengan baik.