WAWANCARA | Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, menggesa agar proses pemilihan dalaman parti itu ditambah baik dan diperhalusi, khususnya selepas pelaksanaan sistem undian secara dalam talian secara meluas bagi pemilihan penggal 2025–2028.
Katanya walaupun pemilihan kali ini mencerminkan usaha PKR untuk memodenkan sistem demokrasi dalaman melalui e-undi, beberapa kekangan serta isu teknikal perlu ditangani bagi meningkatkan kepercayaan dalam kalangan anggota parti.
Menurut Nik Nazmi, pemilihan terkini merupakan kali pertama PRK memulakan langkah berubah format daripada satu ahli satu undi – yang diadakan sejak 2010 – kepada sistem perwakilan berdasarkan peratusan.
“Kali ini juga kebanyakan pengundian berlaku secara atas talian,” katanya dalam temubual bersama Malaysiakini di Putrajaya pada Rabu.
Dia yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata demikian sebagai mengulas rasa tidak puas hati sesetengah pihak kepada keputusan pemilihan pimpinan peringkat cabang yang diadakan baru-baru ini.
Melalui pemilihan tersebut didapati calon yang dekat dengan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, gagal menduduki jawatan ketua cabang. Pada masa sama pasukan mereka berjaya menempatkan diri di peringkat jawatankuasa.
Nik Nazmi antara calon yang gagal di peringkat cabang. Di sebalik menjadi pemimpin di peringkat nasional, dia kalah kepada pencabar, Afdlin Shauki Aksan, yang juga seorang pelakon, pengarah dan pelawak, bagi jawatan ketua Cabang Setiawangsa.
Keputusan luar jangkaan
Perkembangan ‘badan tanpa kepala’ itu mendorong mereka menyasarkan jawatankuasa pemilihan parti diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaliha Mustafa, sebagai punca.
PKR kemudian membuka pintu kepada firma juruaudit luar membuat penelitian terhadap proses berkenaan.
Pada 5 Mei lalu, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh memaklumkan majlis pimpinan pusat (MPP) parti itu memutuskan untuk mengesahkan keputusan pemilihan peringkat cabang yang dipertikaikan.
Mengulas lanjut Nik Nazmi berkata peralihan kepada sistem undi digital secara menyeluruh kali ini agak berbeza dengan pemilihan lalu sama ada pada 2018 atau 2022.
“Kali ini majoriti ahli mengundi atas talian, semua calon merasakan mereka ada anggota yang ramai untuk mengundi, mereka daftarkan dan buat e-KYC (Kenali Pelanggan Secara Elektronik) semua.
“Ramai daripada mereka yakin, tetapi apabila tiba waktu mengundi mungkin ada keputusan yang lain daripada jangkaan,” katanya sambil menambah ia menimbulkan pelbagai tanda tanya yang perlu diurus dengan teliti.

Nik Nazmi turut mendedahkan ada isu berkaitan proses pengundian dibangkitkan dalam mesyuarat MPP baru-baru ini sebagai usaha ke arah penambahbaikan sistem sedia ada.
“Saya pun tak mahu terlalu tumpukan pada benda yang lepas, tetapi kita kena perbaiki daripada apa yang berlaku pada pemilihan cabang tempoh hari,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut dakwaan penyelewengan itu, dia menegaskan parti menjalankan audit dalaman dan turut mendapatkan penilaian daripada pakar teknikal bebas.
Justeru, kata bekas ketua Pemuda PKR itu, terserah terserah kepada anggota parti untuk membuat penilaian atas maklumat yang dikongsikan.

Nik Nazmi bagaimanapun menegaskan bahawa penekanan utama seharusnya diberikan kepada penambahbaikan sistem, bukan sekadar mencari salah pihak tertentu.
“Proses itu perlu diperbaiki dan diperkemaskan lagi supaya anggota yakin dan kita raikan demokrasi. Jadi benda itu saya rasa sangat-sangat penting,” katanya.
Dalam pemilihan dijadual berlangsung pada 23 Mei ini, Nik Nazmi akan mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden di sebalik kekalahannya di Setiawangsa.
Selain Nik Nazmi, ada 11 lagi nama dikemukakan untuk menyertai persaingan di peringkat lapisan ketiga kepemimpinan PKR iaitu:
* Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi)
* Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor)
* Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan)
* R Ramanan (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi)
* Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru)
* R Yuneswaran (Ahli Parlimen Segamat)
* Dr Sathia Prakash Nadarajan (Ketua Cabang PKR Hulu Selangor)
* Abun Sui Anyit (Ketua Cabang PKR Hulu Rajang/ahli Dewan Negara)
* Hee Loy Sian (bekas Exco Selangor)
* Mustaffa Kamil Ayub (Pengerusi Institut Keusahawanan Negara)
* Manivanan Gowin (Ketua Cabang PKR Jempol)
Nik Nazmi, Chang, Amirudin dan Aminuddin merupakan penyandang jawatan tersebut.
Menurut Nik Nazmi, jika parti sering melaungkan keperluan pilihan raya yang adil dan telus, maka proses pemilihan dalaman juga wajar mencerminkan prinsip yang sama.
