Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR: Anwar sah tak dicabar, 12 nama untuk naib presiden
Diterbitkan:  May 10, 2025 8:18 AM
Dikemaskini: 12:18 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak dicabar bagi jawatan Presiden PKR selepas tempoh bagi pencalonan pemilihan parti itu berakhir 11.59 malam tadi.

Bagaimanapun menurut sumber, jawatan timbalan presiden bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Nurul Izzah Anwar dengan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli selaku penyandang.

Bagi jawatan naib presiden pula, 12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing.

Berikut senarai calon yang bertanding jawatan Naib Presiden PKR bagi sesi 2025-2028:

* Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi)
* Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam)
* Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor)
* Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan)
* R Ramanan (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi)
* Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru)
* R Yuneswaran (Ahli Parlimen Segamat)
* Dr Sathia Prakash Nadarajan (Ketua Cabang PKR Hulu Selangor)
* Abun Sui Anyit (Ketua Cabang PKR Hulu Rajang/ahli Dewan Negara)
* Hee Loy Sian (bekas Exco Selangor)
* Mustaffa Kamil Ayub (Pengerusi Institut Keusahawanan Negara)
* Manivanan Gowin (Ketua Cabang PKR Jempol)

Selain itu, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, merupakan calon tunggal bagi jawatan Ketua Pemuda PKR (AMK) manakala jawatan ketua Wanita PKR menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan dengan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.

Pencalonan bagi pemilihan PKR berlangsung selama dua hari bermula Khamis secara dalam talian.

Proses bantahan ditetapkan pada 11 dan 12 Mei ini, diikuti rayuan bantahan (13-14 Mei), tarikh akhir penarikan diri (14 Mei), senarai muktamad calon (15 Mei), tempoh kempen (15-22 Mei) dan pengundian pada 23 Mei.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS