mk-logo
Berita
'Mana datangnya cerita Rafizi pasal vendor aps pemilihan?'
Diterbitkan:  May 21, 2025 11:34 AM
Dikemaskini: 3:39 AM

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Zaliha Mustafa mempertikaikan dakwaan yang dibuat oleh penyandang jawatan timbalan presiden parti, Rafizi Ramli.

"Mana datangnya cerita (Rafizi mengenai) pelantikan vendor sistem pemilihan (PKR) berlaku secara senyap-senyap," soalnya.

Zaliha menegaskan pelantikan vendor tersebut telah dibincangkan di peringkat Biro Politik parti dan juga dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Saya masih ingat perbincangan ketika itu, memang saudara Rafizi langsung tidak mempertikaikan tentang lantikan vendor yang buat sistem pemilihan PKR.

"Yang dibincang, banyak dalam 'pertikaian' ialah pelantikan auditor (juruaudit), (tetapi) tiada (sebarang bantahan terhadap) vendor.

“Kenapa pula sekarang ni, bila kita telah pun selesai pemilihan peringkat cabang, nak pertikai pula tentang pelantikan vendor?

Dakwaan Rafizi tak berasas

"Jadi macam tidak 'sync' (selari) lah bagi saya,” katanya pada sebuah video yang dimuat naik di media sosialnya.



Menyifatkan dakwaan Rafizi sebagai “tidak berasas”, Zaliha turut menggesa agar jawatankuasa pemilihan parti tidak dijadikan alat dalam persaingan antara calon-calon yang bertanding.

Tegasnya, jawatankuasa itu akan terus berusaha kekal sebagai badan bebas yang menjamin ketelusan dan keadilan pemilihan parti.

Sebelum ini, Rafizi mendakwa keputusan untuk melantik vendor dibuat tanpa rundingan atau perbincangan dengan Biro Politik PKR.

Aplikasi ADIL tetap digunakan hujung minggu ini

Menteri ekonomi itu turut mendakwa pelantikan vendor itu dilakukan secara senyap sebelum sebarang perbincangan rasmi tentang pemilihan PKR diadakan.

Rafizi berkata dia memiliki salinan surat pelantikan vendor bertarikh lebih awal dari tarikh perkara itu dibawa ke perhatian Biro Politik atau MPP, serta menegaskan dia “orang pertama” yang membangkitkan isu ini.

Sementara itu, Zaliha memaklumkan aplikasi ADIL yang digunakan semasa pemilihan cabang bulan lalu — yang menyaksikan beberapa sekutu utama Rafizi tewas — akan turut digunakan dalam kongres hujung minggu ini.

Katanya aplikasi tersebut mula digunakan selepas pemilihan parti tahun 2022 untuk mengurus keahlian manakala Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh kemudiannya mencadangkan penambahbaikan termasuk integrasi 26 modul tambahan selepas dilantik ke jawatan tersebut.

Kata Zaliha lagi, dua mesyuarat telah diadakan bagi membuat keputusan menggunakan aplikasi tersebut untuk pemilihan PKR 2025 dan perbincangan kedua telah mencapai persetujuan untuk melaksanakan sistem e-undi yang menggabungkan komponen dalam talian dan fizikal.

Untuk rekod, Rafizi yang juga ahli parlimen Pandan kini berentap dalam pertandingan satu lawan satu Nurul Izzah Anwar bagi jawatan timbalan presiden PKR.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS