Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelantan sedia ikut jejak Terengganu perangi ‘LGBTQ+’
Diterbitkan:  May 21, 2025 12:41 PM
Dikemaskini: 6:20 AM

Kerajaan Kelantan tidak menolak kemungkinan akan memasang papan tanda melarang amalan berkaitan LGBTQ+, seperti yang sedang dilaksanakan di Terengganu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Fadzli Hassan berkata langkah itu dianggap wajar dan memberi impak positif dalam usaha membendung gejala sosial.

Mohd Fadzli Hassan

“Sekiranya ia menghasilkan natijah yang baik, Kelantan mungkin akan turut melaksanakan langkah sedemikian memandangkan ia memang baik dan boleh dilaksanakan,” katanya seperti yang dipetik Harakah.

Menurut Fadzli, kerajaan negeri bersetuju dengan pendirian Terengganu – negeri yang turut ditadbir PAS – bahawa komuniti LGBTQ+ adalah antara “musuh utama” yang menyumbang kepada keruntuhan moral masyarakat.

Dia turut mendakwa golongan berkenaan menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan, termasuk penyakit jangkitan seksual, selain jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Terdahulu, langkah Terengganu menaikkan papan tanda anti-LGBTQ+ di lokasi tumpuan awam mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk peguam hak asasi manusia.

Namun, kerajaan negeri mempertahankan tindakan tersebut, dengan menyifatkannya sebagai satu bentuk pendidikan masyarakat agar menolak perbuatan yang bertentangan dengan norma agama dan budaya.

Exco kerajaan tempatan, perumahan dan kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, mesej yang mahu disampaikan adalah jelas – menanam kebencian terhadap amalan homoseksual.

“Kita mahu masyarakat benci perbuatan homoseksual. Kita mahu mereka anggap ia kotor, salah dan sesuatu yang patut dijauhi,” katanya.

Antara yang lantang mengkritik tindakan itu ialah peguam hak asasi manusia, Rajesh Nagarajan, yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai cubaan terang-terangan kerajaan untuk mencampuri urusan peribadi rakyat.

Dia turut meluahkan rasa kecewa terhadap sikap membisu kerajaan persekutuan berhubung isu itu, yang disifatkannya sebagai satu bentuk kebencian yang tidak wajar dibiarkan.

“Satu jenayah kebencian telah dilakukan, namun tiada tindakan diambil – malah tidak boleh diambil.

“Kita tidak mempunyai undang-undang khusus terhadap jenayah kebencian, hasil kegagalan kerajaan kini dan yang terdahulu,” katanya.

Rajesh Nagarajan

Rajesh turut mempersoalkan kegagalan Malaysia meratifikasi International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) – satu perjanjian antarabangsa yang menurutnya boleh dijadikan asas untuk menangani diskriminasi terhadap komuniti LGBTQ+.

“Malaysia sehingga kini gagal menyertai ICCPR. Sedangkan perjanjian itu boleh membolehkan tindakan diambil terhadap semua bentuk diskriminasi, termasuk ke atas komuniti LGBTQ+,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS