mk-logo
Berita
'Nga tak payah ajak Azam minum teh, bincang isu MyKiosk RM150j'
Diterbitkan:  May 22, 2025 4:56 PM
Dikemaskini: 8:56 AM

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Mas Ermieyati Samsudin berkata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming tidak perlu minum teh bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk membincangkan program MyKiosk.

Sebaliknya, Mas Ermieyati berkata Nga perlu menjelaskan kepada rakyat tentang keberkesanan inisatif KPKT itu.

“Tak perlu pun nak ajak minum teh, nak minum teh dengan Tan Sri Azam Baki.

"Biar SPRM masuk siasat secara telus dan juga secara sewajarnya.

"Dan isu pokok dalam perkara ini adalah berkenaan keberkesanan program MyKiosk ini kepada rakyat.

"Dengan menggunakan dana awam kita sebagai rakyat berhak untuk tahu," katanya pada hantaran video di media sosial.

Ketua Srikandi Bersatu merangkap ahli parlimen Masjid Tanah itu mendakwa program MyKiosk dilihat tidak dimanfaatkan sepenuhnya dan seolah-olah terbiar walaupun setiap unit dianggarkan menelan belanja antara RM15,000 ke RM25,000.

“Mungkin ramai yang tidak perasan wujudnya kiosk berwarna merah dan putih di kawasan kita. Di Masjid Tanah saja ada dua tempat diletakkan MyKiosk ini, iaitu di Kampung Sungai Tuang dan di Taman Rekreasi Durian Daun.

“Saya juga difahamkan pihak KPKT telah membelanjakan lebih RM150 juta untuk menjalankan program ini yang melibatkan lebih 7,000 unit kiosk di seluruh negara,” dakwanya.

Kata Mas Ermieyati, tinjauan dan maklumat yang diperoleh di kawasan menunjukkan banyak kiosk ini tidak digunakan dan dibiarkan kosong.

Dia turut membangkitkan persoalan jika kos setiap unit itu munasabah dan sama ada kajian terperinci telah dibuat atau tidak sebelum kementerian melaksanakan program berkenaan.

“Adakah RM15,000 sampai RM25,000 seunit ini munasabah?

"Keduanya, adakah kajian terperinci dilakukan sebelum pihak kementerian melaksanakan program ini, dan siapakah kontraktor yang mendapat tender?

"Adakah dilakukan melalui tata kelola yang sepatutnya? Persoalan ini bermain di minda saya dan juga ramai rakyat di bawah kerana melihat seperti melepaskan batuk di tangga,” jelasnya.

Katanya, dia turut kesal pada ketika subsidi rakyat ditarik balik atas alasan keperluan fiskal negara, kerajaan masih membelanjakan wang cukai rakyat untuk perkara-perkara yang menimbulkan tanda tanya.

Pengerusi PAC itu menegaskan menteri perlu memberikan penjelasan yang terperinci dan tidak mengambil pendekatan mengugut rakyat.

Sebelum ini, Nga memaklumkan kementeriannya bersedia disiasat oleh SPRM berhubung pelaksanaan program MyKiosk.

"Saya hendak jemput Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM) datang ke pejabat untuk minum teh.

"Saya juga telah arahkan pegawai KPKT untuk cari TikToker dan mereka yang sebar berita palsu," katanya.

Nga turut memberi amaran kakitangan kementerian sedang giat mengumpulkan segala video yang menyebar berita palsu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS