Menjelang hari penting pemilihan parti, calon timbalan presiden PKR Nurul Izzah Anwar sekali lagi menolak dakwaan nepotisme yang sering dilemparkan terhadapnya.
Dalam satu klip video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, Nurul Izzah menegaskan dia berdiri atas usaha sendiri demi memperjuangkan cita-cita membina Malaysia yang lebih baik.
“Mereka kata politik bukan untuk wanita seperti saya. Katanya saya tak layak berada di sini
"Bila dia (Anwar Ibrahim) dipenjara satu demi satu pintu ditutup ke universiti ke masa depan yang sepatutnya milik anak muda.

"Mereka gelar nepotisme tapi saya tak pernah guna kuasa. Setiap langkah saya, saya ambil sendiri.
"Di jalan raya, di tengah lautan manusia demi rakyat untuk keadilan sebenarnya.
"Bukan di balik tembok kuasa tapi di bumi nyata. Kerana ini bukan tentang jawatan,
ini tentang perjuangan, ini tentang malaysia,” kata Nurul Izzah, yang juga anak sulung Anwar.

Nurul Izzah mencabar penyandang jawatan, Rafizi Ramli pada satu pertandingan yang dilihat semakin sengit.
Dalam video tersebut, Nurul Izzah turut menyuarakan keyakinan terhadap sebuah Malaysia yang tidak menilai rakyatnya berdasarkan agama, kaum, atau warna kulit.
"Walau apa pun rintangannya, saya masih tetap berada di sini kerana saya cintakan negara ini melebihi rasa takut terhadap cabarannya.
"Saya percaya kepada sebuah malaysia yang tak menilai kepada agama, kaum, ataupun kulit.
"Saya tak mahu hanya memimpin satu kelompok, satu suara, satu kelas. Saya mahu membina wadah yang menyatukan semua. Bukan hanya untuk hadapi badai tetapi bangkit lebih kuat daripada semuanya,” katanya berkobar-kobar.
Proses pengundian bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dijadualkan berlangsung esok.
