Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM tiada asas syor kerajaan ‘rampas’ harta Daim - peguam

Seorang peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Daim Zainuddin mengecam Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, susulan kenyataannya yang mencadangkan kerajaan melucut hak harta Daim yang didakwa tidak diisytiharkan.

Rajesh Nagarajan menyifatkan cadangan Azam sebagai “tidak masuk akal, tidak berasas dan bermotif dendam” memandangkan bekas menteri kewangan itu telah meninggal dunia dan tiada sebarang pertuduhan jenayah dikenakan terhadapnya.

Tegasnya, Daim tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan jenayah yang boleh menyebabkan harta peninggalannya dilucut hak.

“Atas asas apa harta beliau, yang kini diuruskan oleh pentadbir harta pusaka, boleh dirampas?

"Adakah SPRM mendapatkan dan menerima nasihat undang-undang sebelum membuat kenyataan ini?

“Adakah Peguam Negara telah dirujuk dan memberikan kelulusan?

“Sukar dipercayai bahawa ketua kepada sebuah badan penguatkuasa sanggup mendedahkan agensinya kepada cemuhan sedemikian dengan mengeluarkan kenyataan dangkal yang langsung tidak mempunyai asas undang-undang,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Rajesh, yang mewakili balu Daim, Na’imah Abdul Khalid dan keluarga mereka, mengulas kenyataan Azam pada satu sidang media yang diadakan di ibu pejabat SPRM semalam.

Azam sebelum ini dilaporkan berkata SPRM menerima maklumat Daim didakwa mempunyai lebih banyak aset di luar negara yang tidak diisytiharkan kepada agensi tersebut dan jika dakwaan itu benar, mereka akan mencadangkan agar aset berkenaan dirampas kerajaan.

Mengulas lanjut, Rajesh menyatakan rasa terkejut terhadap kenyataan SPRM dan mempersoalkan mengapa agensi itu memilih untuk membuat kenyataan media berbanding memfailkan permohonan di mahkamah.

“Tindakan ini kelihatan seperti sandiwara politik terhadap Tun Daim dan keluarganya, selari dengan siri serangan berulang yang dilakukan perdana menteri terhadap mereka sejak mengambil alih kuasa,” katanya.

Menurut Rajesh, SPRM dan kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk sewenang-wenangnya merampas harta mana-mana warganegara atau harta pusaka mereka selepas kematian.

Tindakan sedemikian katanya hanya dibenarkan sekiranya seseorang disabitkan kesalahan serius di bawah Jadual Kedua Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan terdapat perintah mahkamah untuk lucut hak atas harta.

“Tiada sebarang pertuduhan pernah dikenakan terhadap Daim, kecuali kesalahan teknikal berkaitan kegagalan mengisytiharkan aset — yang bukan merupakan ‘kesalahan serius’,” tambah Rajesh.

Katanya lagi, tindakan lucut hak atas aset tidak boleh dilakukan semata-mata kerana SPRM atau kerajaan mendakwa mereka mempunyai syak wasangka terhadap sumber atau asal-usul harta tersebut.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS