Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM cadang lucutkan hak aset Daim yang tidak diisytiharkan
Diterbitkan:  May 22, 2025 4:24 PM
Dikemaskini: 10:45 AM

SPRM sedang berusaha melucutkan hak pemilikan harta yang tidak diisytiharkan milik bekas Allahyarham Daim Zainuddin dan keluarganya yang bernilai melebihi RM2 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, sejumlah harta bernilai tinggi itu yang dimiliki Daim, keluarga dan rakan sekutunya sedang dibekukan oleh suruhanjaya itu.

Azam Baki

“Aset-aset berkenaan sekiranya benar tak diisytihar adalah kesalahan.

“Walau pun ketiadaan Tun Daim lagi, kita sedang menuju ke arah itu (melucutkan harta) dan kita sedang melihat harta-harta berkaitan yang tidak diisytiharkan pada satu ketika dahulu.

"Kemudiannya terpulang kepada pendakwaan untuk membuat keputusan," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurut Azam, SPRM baru-baru ini menerima maklumat baru daripada rakan sejawatan mereka di luar negara mengenai dakwaan aset yang dimiliki Daim yang tidak termasuk dalam pengisytiharan asetnya kepada pihak berkuasa.

Antara negara yang Daim didakwa mempunyai aset termasuk di Switzerland dan United Kingdom, tambahnya.

Daim Zainuddin

Azam berkata SPRM telah pun membekukan aset Daim bernilai sekitar RM2 bilion dan percaya mereka boleh menemui lebih banyak lagi kerana penyiasat masih melihat kekayaan yang disimpan bekas menteri kewangan itu, ahli keluarga dan "proksi" mereka.

Susulan itu, agensi itu telah membuka lapan kertas siasatan baru untuk meneliti maklumat tersebut.

“Jadi dalam kes ini saya telah memberi tempoh selama lebih kurang dua bulan buat masa ini kepada pegawai penyiasat untuk menyiapkan kertas siasatan,” katanya.

Daim, yang meninggal dunia pada 13 Nov tahun lalu, kembali menjadi tumpuan selepas SPRM melancarkan siasatan terhadapnya kerana dikaitkan dengan rasuah dan pengubahan wang haram.

Ahli politik veteran itu didakwa gagal mematuhi notis SPRM untuk mendedahkan asetnya yang merangkumi 38 firma, 25 keping tanah dan hartanah, tujuh kenderaan mewah, dan dua akaun dana pelaburan.

Ketika ditanya pemberita sama ada harta itu termasuk Menara Ilham yang dikatakan milik keluarga Daim, Azam berkata: “Anda teka sendiri, tapi saya boleh katakan banyak aset, mencecah hingga RM2 bilion.”  

Katanya, pada masa ini pegawai penyiasat sedang menyiapkan kertas siasatan dengan memanggil saksi bagi dipastikan sama ada harta tersebut diperoleh secara betul atau sebaliknya.

“Jadi, dalam kes ini saya telah memberi tempoh lebih kurang dua bulan kepada pegawai penyiasat untuk menyiapkan siasatan,” katanya.

Susulan kematiannya, Daim dibebaskan daripada semua pertuduhan selepas pihak pendakwaan menarik balik kes mereka terhadapnya.

Bagaimanapun, SPRM masih meneruskan siasatan mereka terhadap jejak kewangan aset yang dikaitkan dengan Daim dan keluarganya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS