Paling Popular
Terkini

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki meskipun menerima teguran pelbagai pihak.

Anwar yang juga presiden PKR berkata dia tidak menafikan teguran yang dibangkitkan, namun yakin SPRM di bawah kepimpinan Azam telah menunjukkan keberanian luar biasa dalam menangani rasuah berskala besar.

“Ada orang bicara dan suara pembangkang sibuk tentang penyambungan kontrak Azam Baki, saya nak sebut saya tidak nafikan teguran yang dibangkitkan,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru, malam ini.

Anwar menekankan bahawa buat pertama kali dalam sejarah dia melihat SPRM lebih berani bertindak terhadap individu yang mempunyai kekayaan berbilion ringgit, termasuk “tauke besar”.

“Saya percaya melihat kepada perkembangan SPRM (selama) puluhan tahun, inilah kali pertama SPRM berani menggeledah semua tauke besar. 

"Ya, ini kenyataan. Saya boleh ganti dan bincang dengan kawan (Kabinet), boleh ganti esok, tapi saya tidak yakin (ketua pesuruhjaya) yang baru itu berani menyinggung tauke besar yang punyai bilion ringgit kekayaannya,” katanya lagi.

Dilanjutkan kontrak selama setahun berkuat kuasa 13 Mei lalu, kritikan terhadap langkah itu terus kedengaran, dengan sebuah demonstrasi dijadual diadakan di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur esok bagi mendesaknya berundur. 

Anwar berkata tindakan SPRM kini turut membabitkan tokoh-tokoh berprofil tinggi, termasuk mereka yang bergelar Tan Sri, Tun dan Datuk Seri dan ia memerlukan sokongan.

“Keluarga besar seperti Tan Sri, Tun dan Datuk Seri. Beri ruang sekejap untuk orang yang diamanahkan mengambil tindakan dan saya tiada sebab untuk mencurigai keberanian ketua pesuruhjaya SPRM (Azam) sekarang untuk bertindak keras dan tegas…,” katanya lagi.

Anwar turut membidas pihak yang sering mengkritiknya, termasuk pembangkang dan aktivis, kerana tidak menyokong tindakan berani SPRM ke atas golongan elit korporat.

“(Namun) Saya tidak pernah dengar mereka sokong bila SPRM bertindak kepada tauke-tauke yang punya berbilion ringgit itu,” katanya lagi.

Anwar turut menyuarakan rasa kecewa kerana tindakan SPRM sering disalah tafsir sebagai bermotifkan dendam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS