Presiden PKR Anwar Ibrahim mengakui terdapat keterlanjuran ketika Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar berkempen dalam merebut jawatan timbalan presiden parti itu.
Anwar menyifatkan keterlanjuran itu adalah satu kesilapan kecil dan kedua-dua pihak sewajarnya tidak menghukum antara satu sama lain.
"Saya lihat kedua-dua pihak ada terlanjur, jadi jangan hukum antara satu sama lain. Saya sebagai bapa bagi nasihat kepada semua.
"Apa yang penting kita bersama dan kalau berkawan puluhan tahun, bergelut susah payah bersama dan menderita puluhan tahun, takkanlah dengan apa yang kita anggap kesilapan kecil itu, tidak boleh dimaafkan.
"Kalau saya, ikhlas saya maafkan semua," katanya ketika memberikan ucapan dasar Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Persada Antarabangsa di Johor Bharu, malam ini.
Anwar berkata, PKR perlu terus membina kekuatan bersama-sama kerana ia masih belum mencapai semua idealisme dan cita-citanya.
"Paling keras bicara (tentang) tatakelola dan antirasuah, baru kita boleh layakkan parti ini jadi parti reformasi tulen," tegasnya.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, dia menerima teguran terhadapnya walaupun tidak menjawab semua isu yang dibangkitkan oleh calon-calon yang bertanding.
"Ini termasuk (teguran) daripada Rafizi, Nurul Izzah, Amirudin Shari dan tokoh-tokoh lain. Ada terrasa sikit biasalah, tapi saya secara positif terima baik kerana beri teguran supaya ingatkan kita dalam dasar, (itu) tidak salah," katanya lagi.

Sementara itu, Anwar juga secara terbuka memohon maaf kepada jentera dan ahli PKR kerana kurang memberi perhatian terhadap pengukuhan dalaman parti sejak menjadi Perdana Menteri.
Katanya, keutamaannya sejak memegang jawatan itu lebih tertumpu kepada pentadbiran negara dan usaha membawa Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang di pentas antarabangsa.
“Saya harus mohon maaf, sepanjang hampir tiga tahun menjadi Perdana Menteri saya paling kurang mengambil berat soal keutuhan parti.
“Apakah ini suatu keputusan yang wajar? Tidak. Saya terbeban dengan tanggungjawab yang baru dan saya mahu negara ini bangkit sebagai negara yang hebat.
"Saya punya cita-cita yang tinggi dalam beberapa tahun dalam usia yang lanjut untuk menjadikan Malaysia negara yang hebat,” katanya lagi.

Anwar berkata ia menyebabkan dia mengabaikan aspek pengukuhan organisasi parti yang sepatutnya turut diberi perhatian, sejajar dengan peranannya sebagai pemimpin utama gabungan politik.
Susulan itu, ahli Parlimen Tambun itu berkata bermula Jun ini, dia akan memperuntukkan sehari seminggu untuk secara khusus membina kekuatan dan penyusunan semula parti.
“Jadi saya mohon maaf kepada jentera parti dan mulai Jun ini saya akan bahagikan tugas dan masa untuk kerajaan, tapi saya akan peruntukkan satu hari khusus untuk bina kekuatan parti,” katanya lagi.
Langkah ini kata Anwar adalah usaha untuk memperkukuh semula kedudukan dalaman parti menjelang cabaran politik akan datang, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Pilihan Raya Umum (PRU).