Nota editor: Peguam kanan, Shafee Abdullah, telah menjelaskan bahawa kenyataan "Nazi-Jerman" yang dibuatnya tidak bertujuan untuk memperlekehkan badan kehakiman atau mana-mana hakim, sebaliknya bertujuan mendidik orang ramai tentang ciri-ciri penting keputusan kehakiman yang betul di bawah kedaulatan undang-undang, dan untuk mengukuhkan – bukan melemahkan – keyakinan orang ramai terhadap mahkamah dengan menegakkan prinsip yang memastikan integriti dan keputusan kehakiman.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah menyamakan prosiding mahkamah berhubung kes titah adendum Najib Razak seperti ketika pentadbiran Nazi Jerman, dengan mengkritik hakim yang mengendalikan kes itu kerana didakwa khilaf.
Kes tersebut berkaitan dengan prosiding hinaa mahkamah yang dimulakan oleh pasukan peguam Najib terhadap bekas peguam negara, Ahmad Terrirudin Salleh, berhubung tindakannya pada 2024, di mana dia tidak mendedahkan di mahkamah berhubungkewujudan titah adendum yang menyatakan Najib boleh menjalani baki hukuman penjara enam tahunnya di bawah tahanan rumah.
Shafee mendakwa Terrirudin enggan mendedahkan kewujudan titah addendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah, bukannya di penjara.
Najib memfailkan permohonan itu di mahkamah pada 21 Mei lalu.
"Timbalan pendakwa raya berkata begitu, mahkamah, secara terbuka berkata begitu. Tetapi peguam negara baru-baru ini menghantar surat dan bertanya: Boleh beri penjelasan sama ada perintah ini meliputi prosiding akan datang seperti kes hina mahkamah?
"Surat itu minta penjelasan dan mahu tarikh prosiding secara terbuka. Kami tidak diminta hadir ke mahkamah.
“Hakim yang arif mengeluarkan arahan secara pentadbiran. Ia tidak boleh buat begitu. Anda mesti dengar kedua-dua pihak, dan ini akan berlaku lagi esok, di hadapan hakim yang sama. Kami akan mengadu kepadanya yang kami juga sepatutnya didengar. Bukan buat keputusan secara sepihak. Itu salah.
"Ia tidak sah. Itu bukan keputusan kehakiman. Keputusan kehakiman bermakna anda dengar kedua-dua pihak. Sejak bila kita buat perbicaraan ala Nazi Jerman? Anda mesti dengar kedua-dua pihak," kata Shafee semasa sidang media di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
‘Tak masuk akal’
Pada bulan lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan untuk menangguhkan semua prosiding berkaitan semakan kehakiman titah adendum oleh Najib.
Penangguhan itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan untuk mendengar rayuan kerajaan terhadap keputusan mahkamah sebelumnya yang membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh bekas perdana menteri itu.
Hari ini Shafee diminta untuk menjelaskan sama ada perintah itu merangkumi prosiding semasa sahaja atau juga prosiding yang akan datang.
"Tidak, ia tidak menyatakan begitu. Ia sebut prosiding. Penangguhan hanya terhadap prosiding yang sedang berjalan. Ia tidak boleh bermaksud prosiding akan datang. Itu tidak masuk akal.
“Lagipun, bagaimana mana-mana mahkamah boleh menghalang pemfailan suatu permohonan? Ia tidak masuk akal," tambahnya.

Minggu lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mempertahankan Terrirudin dengan menyatakan dia telah menjalankan tugasnya selaras dengan fungsi perlembagaannya.
AGC berkata dakwaan Shafee sebelum ini bahawa Terrirudin telah mengelirukan mahkamah adalah tidak berasas dan badan kehakiman tertinggi negara sedang meneliti perkara itu.
"Tindakan untuk memulakan prosiding komital sementara rayuan ini masih berjalan adalah tidak wajar, pramatang, dan prejudis,” kata AGC.
Namun Shafee hari ini menolak kenyataan itu dan menyifatkannya sebagai satu lagi bentuk penipuan.
“Alasan ‘pramatang’ adalah satu lagi penipuan, kerana ia langsung tidak pramatang... kerana penghinaan itu telah berlaku dan masih berlaku setiap hari, kerana anak guam kami sepatutnya dibebaskan pada 29 Januari tahun lalu.

“Sudah lebih setahun sejak dia sepatutnya diletakkan di bawah tahanan rumah, tetapi mereka menyembunyikan titah addendum tersebut.
“Jadi untuk setiap hari dia tidak menerima titah adendum itu, setiap hari juga adalah satu salah laku mengelirukan oleh pihak berkuasa — pada mulanya, sudah tentu, oleh bekas peguam negara,” kata Shafee.
Salah guna proses
Pada minggu lalu AGC turut mengecam Najib kerana memulakan prosiding hina mahkamah terhadap Terrirudin.
AGC menyifatkan tindakan itu satu penyalahgunaan proses mahkamah dan secara langsung melanggar perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sebelum ini memutuskan supaya semua prosiding berkaitan titah adendum — yang mengarahkan baki hukuman penjara enam tahun Najib dilaksanakan di bawah tahanan rumah — ditangguhkan.
Menurutnya, isu yang dibangkitkan dalam permohonan itu adalah subjek rayuan yang masih belum diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, dengan perbicaraan ditetapkan pada 1 dan 2 Julai ini.
"Mahkamah Tinggi pada 28 April 2025 telah membenarkan penangguhan terhadap semua prosiding sehingga keputusan rayuan tersebut diselesaikan oleh Mahkamah Persekutuan,” kata AGC.
AGC turut menyatakan pada 22 Mei, Mahkamah Tinggi juga telah mengesahkan secara bertulis bahawa penangguhan itu merangkumi semua prosiding semasa dan akan datang yang berkaitan dengan kes itu, termasuk sebarang prosiding penghinaan.
"Sebarang cubaan untuk memulakan atau meneruskan prosiding penghinaan semasa perintah penangguhan masih berkuat kuasa merupakan satu tindakan yang secara langsung melanggar perintah Mahkamah dan menjejaskan pentadbiran keadilan yang teratur,” menurut AGC lagi.
Mahkamah Rayuan sebelum ini membenarkan semakan kehakiman dimulakan bagi menuntut kerajaan atau enam pihak lain memberi maklum balas dan mengesahkan kewujudan titah adendum pada Januari tahun lalu.
‘Main sorok-sorok’
Shafee juga menuduh pihak kerajaan sengaja menyembunyikan maklumat mengenai titah tersebut, dengan berkata mereka tidak boleh “main sorok-sorok” dengan dokumen undang-undang yang penting.
Dia berkata pihaknya telah menghantar surat kepada tujuh individu dan institusi berbeza, termasuk Terrirudin, menteri dalam negeri, menteri undang-undang, ketua pengarah penjara, dan kerajaan — dengan salinan dihantar kepada perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Surat-surat itu meminta pengesahan sama ada titah adendum itu telah dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, dan memohon salinan dokumen tersebut untuk tindakan undang-undang selanjutnya.
Namun, dakwa Shafee, tiada satu pun daripada tujuh surat itu menerima maklum balas substantif. Dia berkata bahawa walaupun pengesahan penerimaan diterima, tiada pengesahan rasmi atau penafian diberikan mengenai kewujudan dokumen tersebut.
“Katakanlah titah adendum itu karut, contohnya. Bukankah menjadi tanggungjawab mereka untuk menjawab surat saya dengan berkata: Kami merujuk surat anda, dan titah adendum ini secara fakta dan undang-undang tidak wujud. Apa salahnya beritahu kami begitu? Maka kami boleh berhenti membangkitkannya.
“Mereka tak berani jawab kerana titah adendum itu memang wujud. Dan sekarang kita sudah tahu, bukan? Bahawa ia memang wujud dan perdana menteri sendiri dua kali mengatakan titah itu memang wujud, dan telah diterima oleh peguam negara yang kemudian menyerahkannya kepada Istana Negara.
“Kenapa? Saya tak faham. Sebab Yang di-Pertuan Agong ke-16, yang juga Sultan Pahang, telah pun mengeluarkan titah adendum itu pada tarikh yang sama dengan perintah pengampunan pertama yang dikeluarkan,” kata Shafee lagi.
‘Berniat sembunyikan’
Shafee turut mempersoalkan kenapa titah itu perlu diterima terlebih dahulu oleh peguam negara, yang kemudiannya menyerahkannya kepada Istana Negara.
“Tiada logik mengapa laluan titah adendum sedemikian, melainkan memang niatnya untuk disembunyikan dan tidak dimaklumkan kepada Najib atau peguamnya.
“Jadi kami bukan memfailkan prosiding hina mahkamah sekadar untuk suka-suka. Kami sudah beri dia (Terrirudin) banyak peluang untuk keluarkan titah adendum itu. Bagaimana ia dikeluarkan, kami tak kisah. Kami dah beri banyak peluang, sejak Januari,” katanya lagi.
Dia turut menekankan prinsip undang-undang “kewajiban keterbukaan (duty of candour)”, yang disifatkannya sebagai kewajiban untuk pihak berkuasa mendedahkan maklumat yang berkaitan semasa prosiding mahkamah.
Kata Shafee lagi, kewajiban itu amat penting, terutama apabila dokumen berkenaan berada di pejabat kerajaan, dan kegagalan untuk mendedahkannya adalah pelanggaran serius terhadap protokol undang-undang.
