WAWANCARA | Peletakan jawatan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai menteri akan dianggap janggal oleh mereka yang tidak pernah merasai kehilangan kuasa, kata Kamil Abdul Munim.
Kamil yang merupakan ketua Pemuda PKR yang baru berkata, walhal perkara itu menunjukkan PKR sebagai sebuah parti yang sentiasa mencipta budaya dan tradisi politik baru.
"Mungkin bagi pihak yang mengkritik, bukan budaya dalam amalan politik mereka. Tetapi bagi kita yang sentiasa mencipta budaya politik baru, ini adalah satu manifestasi kepada keupayaan kita.
"Pemimpin kita tidak melihat kuasa itu sebagai penentu segala-galanya, tetapi ada prinsip, kebertanggungjawaban dan tekad politik yang tinggi untuk tidak bergantung kepada kekuasaan semata-mata.
"Tugas dan fungsi orang politik ini bukan hanya duduk di tampuk kekuasaan dan lakukan perubahan, tetapi ada peranan lain dalam usaha untuk beri pendidikan politik kepada masyarakat awam di luar sana," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini di Petaling Jaya, semalam.

Kamil yang juga setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim di Kementerian Kewangan berkata demikian ketika diminta memberi pandangan peribadinya berhubung peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi.
Pada dua hari lalu, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Ia selepas kedua-duanya gagal mempertahankan jawatan yang disandang, iaitu Rafizi untuk timbalan presiden dan Nik Nazmi untuk naib presiden, dalam pemilihan PKR pada minggu lalu.
Rafizi berkata kekalahannya itu memberi isyarat jelas bahawa dia tidak lagi mempunyai mandat politik untuk terus menterjemahkan agenda parti dalam kerajaan.
Nik Nazmi juga menyatakan sebab yang serupa dan berkata dia sedar kedudukannya sebagai naib presiden PKR sebelum itu menjadi pertimbangan utama pelantikannya ke kabinet.
Nik Nazmi juga berkata walaupun meletakkan jawatan kabinet, mereka tidak akan mengkhianati PKR.

Mengulas lanjut, Kamil yang menang tanpa bertanding dalam pemilihan minggu lalu berkata, langkah yang diambil Rafizi dan Nik Nazmi adalah satu bentuk budaya politik yang perlu dimulakan.
"PKR memulakan budaya politik yang sebegitu dan ini bagi saya bukan satu hal yang janggal. Tetapi bagi orang yang tidak pernah rasa hilang kuasa, ia janggal bagi mereka,” katanya.
Pada masa sama, Kamil tetap menyuarakan kebimbangan memandangkan Rafizi dan Nik Nazmi merupakan pemimpin yang memiliki kekuatan tersendiri.

“Rafizi mahupun Nurul Izzah, kedua-duanya permata buat parti.
"Saya yakin keupayaan dan kekuatan yang dimiliki oleh Rafizi, Nik Nazmi dan juga rakan-rakan yang lain boleh dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk terus menjadi penggerak dan juga menguatkan pergerakan jentera kita berhadapan dengan pilihan raya akan datang," katanya lagi.
Dia juga yakin Perdana Menteri merangkap Presiden PKR Anwar Ibrahim mempunyai kebijaksanaan untuk menguruskannya.
"Ini bukanlah perkara yang janggal bagi PKR. Kita sudah berhadapan dengan banyak krisis, politik dalaman dan juga politik luaran.
"Kalau kita terus berpegang kepada prinsip dan idealisme kita, keyakinan dan fokus kita terhadap pengurusan kerajaan dan negara, dan kita faham fungsi dan tanggungjawab masing-masing, maka hal ini dapat dibereskan dan diuruskan dengan baik," kata Kamil lagi.
