Demi menjaga imej institusi Yang di-Pertua Negeri Sabah, kata seorang pegawai kanan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, sebarang pertikaian mengenai sambutan negeri tahun ini wajar dihentikan serta-merta.
Menurut pegawai khas Hajiji, Sazalye Donol, sebarang cubaan mencalar institusi berkenaan – seperti yang dilakukan oleh seorang aktivis pelajar Sabah – memang wajar dikutuk.
Katanya ia merupakan suatu tindakan bersifat tuduhan luar dan boleh diambil tindakan kerana dianggap menghina Yang di-Pertua Negeri Sabah dan institusi terbabit.
“Untuk makluman, selepas meneliti perincian pelaksanaannya, saya menegaskan bahawa pelaksanaan sambutan hari jadi Tuan Yang Terutama (Yang di-Pertua Negeri Sabah) pada tahun ini tidak melanggar perlembagaan negeri atau mana-mana undang-undang dan peraturan di negara ini.
“Kami juga mendapati pihak kerajaan negeri bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor tidak melakukan sebarang kesalahan, khilaf atau sebarang pembaziran.
“Sebaliknya, usaha dibuat bagi memastikan penjimatan kos perbelanjaan bagi pelaksanaan hari jadi tersebut secara telus dan berhati-hati,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Semalam seorang aktivis Persatuan Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggesa agar sambutan ulang tahun Musa Aman selaku Yang di-Pertua Negeri Sabah dibatalkan.
Aliff Danial berkata dana rakyat seharusnya disalurkan untuk menyelesaikan masalah di negeri itu, bukannya untuk sambutan berkenaan.

Dia turut membidas kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana “berbelanja mewah” dan menyifatkannya sebagai satu pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat.
“Bagaimana mungkin seorang bekas pemimpin yang pernah menghadapi 46 tuduhan rasuah melibatkan konsesi balak bernilai RM200 juta kini mahu diraikan hari jadinya dengan penuh kemewahan menggunakan dana rakyat?
“Seharusnya dana rakyat itu disalurkan untuk membantu menyelesaikan masalah air di UMS dan permasalahan lain dihadapi penduduk Sabah,” katanya.
Menurut Sazalye penelitian dan perbandingan yang dibuatnya menunjukkan sambutan hari lahir Yang di-Pertua Negeri Sabah pada tahun-tahun sebelum ini melibatkan kos jauh lebih tinggi.
Sebagai contoh, katanya, pada tahun lalu sebanyak 12 program yang disenaraikan.
Tahun ini, katanya, selepas mengambil kira pelbagai faktor seperti penjimatan dan lain-lain, jumlah program dikurangkan menjadi hanya tujuh.
“Program yang memerlukan kos lebih besar seperti big bike dan pertandingan golf telah ditiadakan.
“Namun program yang lebih bermanfaat serta bersifat perlu untuk rakyat di negeri ini seperti meraikan anak yatim, majlis keagamaan dan perbarisan dikekalkan.
“Ini bermakna, penjimatan kos keseluruhan sambutan hari jadi Yang di-Pertua Negeri Sabah pada tahun ini diminimumkan secara signifikan,” katanya.
