Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zaid gesa k'jaan reformasikan undang-undang hina mahkamah
Diterbitkan:  May 31, 2025 12:04 PM
Dikemaskini: 4:04 AM

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menggesa agar undang-undang berkaitan penghinaan mahkamah dipinda, berhujah ia semakin kerap digunakan untuk menyekat perbezaan pendapat.

Zaid memberi amaran penggunaan berterusan undang-undang penghinaan mahkamah untuk melindungi badan kehakiman daripada kritikan boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi tersebut.

Pada satu siri hantaran di platform X, dia menzahirkan kebimbangan bahawa prosiding hina mahkamah dahulunya jarang digunakan dan hanya untuk gangguan serius.

Tetapi, kata Zaid sekarang ia semakin kerap dilaksanakan di mahkamah sivil dan syariah sebagai alat menyekat suara berbeza.

“Apa yang dahulunya langkah luar biasa untuk kes-kes berat kini menjadi 'senjata' kerap — kadangkala lebih digunakan untuk melindungi hakim daripada kritikan,” katanya.

Kenyataan Zaid ini susulan pengumuman Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memulakan prosiding hina mahkamah terhadap peguam Shafee Abdullah berhubung analogi “Nazi Jerman” yang digunakannya semasa mengulas isu tambahan pengampunan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

AGC menyifatkan kenyataan Shafee dibuat dalam konteks kes yang sedang berjalan dan menegaskan bahawa ia merupakan “serangan serius dan tidak wajar” terhadap maruah, autoriti serta kebebasan badan kehakiman.

Sebagai maklum balas, Shafee menjelaskan kenyataannya bukan bertujuan merendahkan martabat badan kehakiman atau mana-mana hakim secara khusus.

Sebaliknya, dia berkata ia bertujuan “mendidik masyarakat tentang ciri-ciri utama sesuatu keputusan kehakiman yang adil di bawah prinsip kedaulatan undang-undang” dan untuk memperkukuh – bukan melemahkan – keyakinan terhadap mahkamah.

‘Zaman penjajah dah berlalu’

Dalam pada itu, Zaid mengakui penghinaan terhadap mahkamah secara langsung – seperti tingkah laku mengganggu dalam prosiding atau ingkar perintah mahkamah – masih wajar.

Menelusuri asal usul undang-undang penghinaan mahkamah dari England pada abad ke-16, Zaid berkata ia digubal oleh para hakim yang ketika itu dilihat sebagai lanjutan kuasa raja.

“Bagi melindungi diri mereka, para hakim membangunkan undang-undang penghinaan mahkamah sebagai perisai undang-undang – bukan untuk melindungi keadilan, tetapi untuk melindungi diri mereka sendiri,” katanya.

“Prinsip sama ini kemudiannya dibawa oleh empayar British ke tanah jajahan mereka, termasuk Tanah Melayu, di mana ia menjadi alat yang sesuai untuk menutup suara pembangkang dan gerakan antipenjajah atas nama menjaga maruah kehakiman. Tetapi zaman itu sudah berlalu,” tambahnya.

Zaid menegaskan badan kehakiman hari ini, sebagai institusi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, perlu memperoleh penghormatan rakyat melalui keadilan dan hujah yang berlandaskan akal, bukannya dengan menghukum pengkritik.

“Maruah mahkamah harus – dan boleh – bergantung kepada kekuatan hujah mereka, bukan kepada tindakan membungkam suara yang berbeza,” katanya.

“Jika mahkamah ingin dihormati, mereka perlu meraihnya melalui keadilan, sikap tidak berpihak (impartiality), dan autoriti moral – bukan dengan ugutan denda atau penjara terhadap mereka yang berani bersuara secara kritikal.”

Zaid turut menggesa AGC agar menggubal satu undang-undang moden berasaskan hak asasi berkaitan penghinaan mahkamah yang merangkumi definisi kesalahan yang jelas dan mencerminkan prinsip keadilan dalam masyarakat demokratik.

“Kita perlu tinggalkan naluri penjajah yang ingin menghukum suara, dan sebaliknya menuntut suatu undang-undang yang memfokuskan kepada kesalahan yang ditakrif secara jelas dan sempit – iaitu hanya kesalahan yang benar-benar menggugat pentadbiran keadilan,” kata Zaid.

“Kebebasan bersuara dan komen yang adil bukanlah ancaman kepada keadilan – sebaliknya itulah nadi keadilan itu sendiri.

“Ya, hakim itu istimewa – tetapi tidaklah terlalu istimewa sehingga tidak boleh dikritik atau menuntut kepatuhan melalui ketakutan,” tambahnya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS