Presiden MCA Wee Ka Siong harus mengkaji semula peraturan yang dikuatkuasakan ketika dia berada dalam kabinet sebelum membuat kenyataan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Armizan Mohd Ali.
Armizan berkata ini kerana pelaksanaan operasi Ops Gasak yang dilaksanakan bermula 1 Mei lalu bukanlah satu dasar atau peraturan baru, tetapi merupakan undang-undang sedia ada.
Dia berkata Ops Gasak bukan bertujuan untuk menarik subsidi gas petroleum cecair (LPG), tetapi untuk membanteras kegiatan haram 'decanting' (pemindahan gas dari tong LPG bersubsidi kepada tong tidak bersubsidi), penyeludupan dan penggunaan oleh industri berskala besar dan sederhana.
Katanya lagi, pelaksanaan Ops Gasak juga tertakluk dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.
Dia menjawab kenyataan Presiden MCA Wee Ka Siong yang mempersoalkan mengapa kerajaan tidak dapat memberikan subsidi gas kepada peniaga kecil sedangkan Malaysia merupakan pengeksport kelima terbesar gas asli cecair (LNG) di dunia.
“Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 memperuntukkan bahawa mana-mana pihak menggunakan LPG melebihi 42kg dikehendaki memohon Permit Barang Kawalan Berjadual.
“Peraturan itu dibuat dan berkuat kuasa sejak 15 Okt 2021, iaitu di bawah pentadbiran kerajaan lalu, ketika Wee menjadi ahli jemaah menteri,” katanya.
“Saya bersangka baik, mungkin kerana peraturan 2021 itu di bawah kementerian lain, maka dia terlepas pandang dan pasukannya juga tidak memberikan nasihat yang tepat kepada dia sebelum membuat kenyataan umum.
“Sehubungan itu, dengan penuh hormat, saya mencadangkan dia menyemak peraturan yang dibuat semasa dia merupakan seorang menteri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Wee mengkritik kerajaan kerana tidak memberikan subsidi kepada peniaga kecil dan mengenakan larangan terhadap pengusaha makanan daripada menggunakan tong gas bersubsidi domestik.
Katanya, peniaga diarahkan menggunakan tong gas komersial berharga RM70 berbanding tong gas bersubsidi yang berharga RM26.60 bagi berat yang sama iaitu 14kg.
Bagaimanapun, Armizan berkata hanya peniaga yang menggunakan lebih tiga tong gas 14kg atau lebih 42kg LPG pada satu-satu masa diwajibkan memiliki Permit Barang Kawalan Berjadual.
“Antara fakta - di bawah peraturan 2021, yang masih kita pakai di bawah Ops Gasak - hanya mereka yang menggunakan lebih daripada 42kg LPG perlu mempunyai permit barangan terkawal berjadual.
"Maka tidak benar sekiranya disebut semua penjaja dan peniaga dilarang menggunakan tong LPG bersubsidi," katanya lagi.
Pada masa sama, Armizan berkata bagi perniagaan makanan dan minuman, kementerian tidak mengambil tindakan undang-undang termasuk mengeluarkan kompaun atau menyita barangan terhadap mana-mana peniaga yang belum mempunyai permit barangan kawalan berjadual sepanjang tempoh Ops Gasak.
“Ini kerana pada peringkat ini, tumpuan diberikan kepada advokasi, pemeriksaan dan memaklumkan kepada peniaga tentang tanggungjawab mereka untuk mematuhi rangka kerja undang-undang sedia ada.
“Kami tidak mengambil tindakan undang-undang kerana kami terbuka untuk menerima aduan dan cadangan penambahbaikan,” tambahnya.
Selain itu, Armizan berkata cadangan penambahbaikan akan dibawa ke kabinet untuk pertimbangan, termasuk jika terdapat keperluan untuk meminda Peraturan (Pindaan) 2021.
Sementara itu, Wee dalam kenyataan balasnya berkata isu pokok bukan soal siapa yang meluluskan pindaan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) pada 2021, tetapi bagaimana ia dikuatkuasakan pada masa ini.

“Ya, PPKB (Pindaan) 2021 telah diluluskan ketika saya berada dalam jemaah menteri. Tetapi sehingga 2024, tiada sebarang operasi besar-besaran seperti Ops Gasak yang turun ke pasar malam, warung, gerai kecil dan penjaja makanan secara agresif seperti yang berlaku bermula Mei 2025.
“Malah, kerajaan PH 1.0 sebelum ini pada 2019 juga pernah memulakan penguatkuasaan penggunaan LPG komersial di restoran dan kedai makan, tetapi dihentikan selepas menyedari kesannya yang membebankan rakyat,” katanya.
Wee berkata kewujudan akta tidak bermakna penguatkuasaan mesti dilakukan secara keras dan mengejut.
Katanya, banyak undang-undang wujud sejak sekian lama tetapi penguatkuasaan hanya dibuat mengikut keperluan dan pertimbangan kerajaan semasa.
Tegas Wee, penguatkuasaan Ops Gasak secara skala besar adalah keputusan pentadbiran kerajaan Madani pada 2025 dan bukan arahan jemaah menteri ketika pindaan diluluskan pada 2021.
“Penguatkuasaan ini membebankan peniaga kecil pada saat rakyat sedang tertekan,” katanya.
Wee: Takkan saya pula dipersalahkan?
Wee berkata dalam surat bertarikh 30 April 2025, Petronas telah mengarahkan semua pengedar gas untuk menghentikan penjualan LPG bersubsidi (silinder 12kg dan 14kg) kepada semua premis komersial, termasuk restoran, gerai makanan dan warung.
“Arahan ini secara langsung menyebabkan kekeliruan, keresahan serta kesukaran kepada ribuan peniaga kecil yang kini bimbang akan tindakan penguatkuasaan walaupun mereka hanya menggunakan tong kecil selama ini.
“Saya sudah lebih daripada dua setengah tahun tidak menjadi menteri, takkan saya pula dipersalahkan dan terpaksa menanggung dosanya akibat daripada surat terbaru Petronas? Adakah ini adil dan masuk akal?
“Di peringkat penguatkuasaan lapangan, kita lihat banyak video dan aduan berkaitan pemeriksaan ke atas peniaga kecil terus berlaku, bercanggah dengan naratif kononnya hanya industri besar disasarkan,” tambahnya.
Justeru, Wee menyeru Armizan supaya tidak mengalihkan perhatian rakyat dengan cuba meletakkan beban kebertanggungjawaban kepada jemaah menteri terdahulu, sedangkan hakikatnya penguatkuasaan agresif Ops Gasak adalah keputusan pentadbiran Madani pada hari ini.
