Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Subsidi gas: Hebat di mata dunia tapi rakyat sendiri tak dapat manfaat - Wee
Diterbitkan:  May 31, 2025 4:58 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Presiden MCA, Wee Ka Siong mempersoalkan mengapa negara ini tidak dapat memberikan subsidi gas kepada peniaga kecil sedangkan Malaysia merupakan pengeksport kelima terbesar gas asli cecair (LNG) di dunia.

Merujuk laporan Kesatuan Gas Antarabangsa tahun lalu, Wee berkata Malaysia mengeksport kira-kira tujuh peratus daripada LNG dunia pada tahun 2023.

"Hebat di mata dunia tapi rakyat sendiri tak dapat manfaatnya,” katanya dalam satu video yang dimuat naik ke Facebook.

Wee turut membidas langkah rasionalisasi subsidi oleh kerajaan, dan mempersoalkan ke mana perginya pelaburan berbilion ringgit yang diterima negara sekiranya tidak digunakan untuk membantu meringankan kos penggunaan gas oleh rakyat.

Katanya, MCA menyokong usaha kerajaan untuk menyalurkan subsidi secara bersasar dan menangani ketirisan, namun menegaskan ia tidak sepatutnya mengabaikan isu-isu besar lain.

Wee turut mempersoalkan larangan terhadap pengusaha makanan daripada menggunakan tong gas bersubsidi domestik, dan sebaliknya diarahkan menggunakan tong gas komersial.

Menurutnya, tong gas komersial berharga RM70 — peningkatan sebanyak 170 peratus berbanding tong gas bersubsidi yang berharga RM26.60 bagi berat yang sama iaitu 14kg.

"Jadi akhirnya siapa yang kena tanggung kenaikan harga ini? Siapa yang kena bayar lebih? Jawapannya sudah tentulah rakyat selaku pengguna," katanya

Menurut laporan media, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memulakan dasar mengehadkan penggunaan gas LNG bersubsidi hanya kepada isi rumah bermula 1 Mei di bawah Ops Gasak.

Selain itu, Wee juga mempersoalkan keperluan peniaga memohon permit jika menggunakan lebih daripada tiga tong gas sebulan.

"(Jika) Tak ada permit mereka dikenakan tindakan, barang dan premis mereka disita melalui Ops Gasak," katanya.

Dalam video itu, Wee turut berkongsi kenyataan KPDN yang menyebut bahawa mana-mana pengusaha perniagaan yang menggunakan lebih 42kg gas LNG sebulan perlu memohon permit barang kawalan berjadual.

Kenyataan itu juga menyatakan bahawa sektor yang terkesan termasuk industri pembuatan, makanan dan minuman, penternakan, dobi, serta restoran besar dan rangkaian makanan.

Wee menegaskan bahawa peniaga kecil tidak hidup mewah, sebaliknya hanya mencari rezeki untuk menyara keluarga.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS