Pemuda PAS Pahang mendakwa hubungan antara parti-parti dalam kerajaan kini berada dalam keadaan rapuh, khususnya antara Umno dan PKR, susulan tindakan Tengku Zafrul Abdul Aziz menyatakan kesediaan menyertai PKR secara terbuka.
Langkah menteri pelaburan, perdagangan dan industri (Miti) itu meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan semua jawatan berkaitan parti pada Jumaat lalu, dianggap satu petunjuk kepada ketidaksefahaman dalam kalangan parti gabungan kerajaan.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang Ahmad Azlan Abu Bakar menyifatkan keputusan itu menggemparkan landskap politik negara dan memberi impak terhadap kestabilan politik.
"Tindakan Tengku Zafrul yang secara terbuka menolak Umno - parti yang mengangkatnya dalam pentadbiran kerajaan - membuktikan ada keretakan dalaman yang mendalam antara parti komponen Kerajaan Perpaduan, termasuk di Pahang," katanya pada kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Menurut Ahmad Azlan, wujud juga desas-desus mengenai kelewatan pelantikan politik di peringkat negeri disebabkan pertikaian antara Umno dan PH.
Dakwanya gabungan PH-Umno di Pahang hanya “pakatan longgar” tanpa matlamat perjuangan bersama yang jelas.
"Tindakan pemimpin seperti Tengku Zafrul membuka ruang kepada spekulasi dan keresahan politik, bukan sahaja dalam kalangan rakyat, malah dalam kalangan jentera kerajaan sendiri," katanya lagi.
Dia turut menyeru kerajaan negeri kembali berpaksikan prinsip Islam, integriti dan kecekapan, sambil memberi amaran permainan politik dalaman hanya akan menyusahkan rakyat dan menghalang pembangunan.

"Kerajaan Perpaduan di Pahang juga dalam situasi genting dan rapuh.
"Kami menyeru semua pihak, terutama rakyat, menilai semula keabsahan dan keberkesanan kerajaan negeri yang wujud hari ini.
"PAS dan Perikatan Nasional kekal sebagai pilihan terbaik untuk mentadbir negeri Pahang dengan lebih stabil, adil dan beramanah," katanya.
Jumaat lalu, Tengku Zafrul yang juga ketua Umno Bahagian Kota Raja mengumumkan keluar parti dan menyatakan minat menyertai PKR — tindakan yang mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pimpinan Umno.

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Salleh dalam maklum balasnya berkata “kehadiran Menteri Miti dalam Umno sebagai tidak diundang dan pemergiannya tidak dikesali”.
Susulan itu, terdapat gesaan supaya Tengku Zafrul melepaskan jawatan sebagai menteri Miti.
Namun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan tiada keperluan untuk menggantikan Zafrul kerana prestasinya disifatkan “sangat baik”.
Media sebelum ini melaporkan hasrat Zafrul menyertai PKR berkait rapat dengan kemungkinan penyusunan semula kabinet menjelang tamat tempoh pelantikannya sebagai senator tidak lama lagi.
