Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda MCA gesa kerajaan perjelas dasar subsidi LPG untuk peniaga kecil
Diterbitkan:  Jun 3, 2025 3:31 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Pemuda MCA menggesa kerajaan agar segera memperjelaskan status dasar subsidi gas petroleum cecair (LPG) untuk peniaga kecil, susulan kekeliruan dan tindakan penguatkuasaan yang didakwa menekan golongan penjaja makanan.

Ketua Pemuda MCA Petaling Jaya, Andy Teoh Tuck Wah, berkata pihaknya menerima pelbagai aduan daripada peniaga kecil yang mendakwa diugut dengan denda walaupun telah menggunakan tong LPG bersubsidi sejak bertahun-tahun lamanya.

"Berdasarkan aduan yang kami terima daripada peniaga-peniaga kecil, khususnya penjaja makanan, pelaksanaan penstrukturan subsidi gas LPG pada awal 2025 ini telah menyebabkan tindakan penguatkuasaan mendadak oleh pihak berkuasa.

"Peniaga yang telah lama menggunakan tong LPG 14kg, 12kg, atau 10kg kini disiasat dan diugut didenda, meskipun tiada penjelasan atau garis panduan yang jelas daripada kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

Memetik laporan media, Andy berkata, kira-kira 60 peratus peniaga makanan yang bergantung kepada gas LPG subsidi kini bimbang dikenakan tindakan undang-undang, sedangkan kerajaan belum mengeluarkan garis panduan rasmi.

Dia juga merujuk laporan daripada Persatuan Penjaja Makanan Malaysia yang menunjukkan lebih 40,000 penjaja makanan menggunakan tong gas LPG domestik dalam operasi harian.

“Sekiranya tiada jaminan dan panduan rasmi, ribuan keluarga akan terkesan secara langsung,” tambahnya.

Dalam pada itu Andy menegaskan bahawa kerajaan sebelum ini tidak pernah menjadikan subsidi gas untuk peniaga kecil sebagai isu besar.

"Namun, di bawah pentadbiran Kerajaan Madani, isu ini menjadi kontroversi dan menjejaskan periuk nasi peniaga kecil yang sudah pun terbeban dengan kenaikan kos barangan mentah,” tegasnya.

Pada 1 Jun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Ali menjelaskan pelaksanaan operasi Ops Gasak bermula 1 Mei lalu bukanlah satu dasar atau peraturan baru, tetapi merupakan undang-undang sedia ada.

Menurutnya, Ops Gasak dilaksanakan dari 1 Mei hingga 31 Oktober adalah bagi membanteras kegiatan haram 'decanting' iaitu pemindahan gas dari tong LPG bersubsidi kepada tong tidak bersubsidi, penyeludupan dan penggunaan oleh industri berskala besar dan sederhana.

Penjelasan itu diberikan sebagai maklum balas kepada Presiden MCA, Wee Ka Siong, yang mempersoalkan mengapa kerajaan tidak memberikan subsidi gas untuk peniaga kecil sedangkan negara merupakan pengeksport kelima terbesar gas asli cecair (LNG) di dunia.

Sementara itu, menjawab dakwaan Adun Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao, yang menuduh MCA menyebarkan maklumat palsu berkenaan isu ini, Teoh berkata tuduhan tersebut tidak berasas.

“Pemuda MCA mengingatkan Puan Pang Sock Tao, sebagai Adun Kuala Kubu Baharu dan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Selangor agar tidak membuat tuduhan semberono yang boleh mengeruhkan keadaan. Rakyat memerlukan penyelesaian, bukan polemik politik,” tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS